PAN Salahkan Ulama', Asatizah "Rosakkan" Pemikiran PAS


ALOR SETAR - Parti Amanah Negara (PAN) menyalahkan golongan ulama' di dalam PAS yang menerima pendidikan dari institusi pengajian di Timur Tengah telah mengubah parti itu sebagai sebuah "parti ekstrimis".

Pengarah Komunikasi PAN, Khalid Samad berkata, golongan terbabit telah membawa budaya buruk dari Timur Tengah dan berjaya mempegaruhi kepimpinan serta hala tuju bekas partinya itu.

"Mereka ini adalah golongan yang baru pulang daripada melanjutkan pelajaran di Timur Tengah dan begitu taksub dan terbawa-bawa dengan cara di sana.

"Mereka cuba terapkan cara yang sama seperti di sana (Timur Tengah) kepada PAS dan inilah hasilnya," katanya kepada sebuah portal berita.

Kata Khalid, beliau dan beberapa rakannya pernah berjaya membawa PAS keluar dari "pemikiran lama", namun tidak bertahan lama.

"Untuk seketika, kita sudah berjaya bawa PAS keluar daripada pemikiran lama, namun ia tidak dapat bertahan. Kemunculan golongan ini memusnahkan apa yang telah dibina dalam PAS," katanya lagi.

PAS sebelum ini menegaskan untuk kembali ke perjuangan asalnya yang sekian lama dilupakan iaitu mencari keredhaan Allah SWT dan tidak meletakkan sasaran politik sebagai keutamaan perjuangan.

Namun pendirian tersebut ditentang oleh sebilangan pemimpin PAS yang memperjuangkan kuasa politik dan mengkritik perjuangan mencari keredhaan Allah SWT sebagai satu langkah politik yang mundur ke belakang.

Difahamkan beberapa pemimpin PAS berkenaan berkemungkinan besar bakal meninggalkan PAS menjelang Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14.

Semalam, Adun PAS Anak Bukit, Dato' Amiruddin Hamzah membuka langkah pertama dengan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan kemungkinan akan disusuli oleh beberapa lagi yang lain. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com