Mukin Tobiar Dikenali Sebagai Lubuk Harta Karun


ALOR SETAR –  Bagi yang tidak mengenali Mukim Tobiar, pasti akan beranggapan tiada apa yang istimewa namun sebaliknya mukim itu menyimpan sejarahnya tersendiri satu ketika dahulu.

Difahamkan, tempat itu  dikenali sebagai lubuk harta karun atau sebagai pengkalan duit oleh penduduk kawasan terbabit.

Penduduk, Rozali Zakaria, 78, mendakwa, perkataan Tobiar itu adalah perkataan dari bahasa Siam yang bermaksud pengkalan duit dan lubuk harta karun memandangkan kawasan itu diduduki penduduk berbangsa Melayu yang fasih berkomunikasi dalam bahasa Siam.

“Tobiar kini dijadikan salah satu mukim yang terdapat dalam daerah Pendang.

“Nama itu kini begitu terkenal di daerah Pendang, namun bagi penduduk generasi baru mereka tidak mengetahui mengenai sejarah dan asal-usul kampung ini yang boleh dikatakan begitu menarik,” katanya.

Katanya lagi, dia percaya dan yakin dengan sejarah di sebalik nama kampung itu memandangkan Tobiar begitu kaya dengan hasil pertanian sawah padi dan getah.

“Kampung ini begitu kaya dengan hasil tanaman seperti hasil sawah padi dan getah  di kampung ini.

“Susah penduduk kawasan lain adalah tidak sama dengan susah penduduk di kampung ini kerana kebanyakan penduduk di kampung ini mempunyai banyak harta benda seperti sawah padi dan kebun getah,” katanya.

Penduduk Melayu fasih komunikasi bahasa Siam

Sementara itu, Penghulu Mukim Tobiar, Abdul Malik Abdul Manaf berkata, Tobiar wujud lebih kurang 150 tahun yang lalu.

Ia ditadbir oleh beberapa penghulu memandangkan mukim itu mempunyai 22 kampung yang ditadbir oleh pengerusi jawatankuasa kampung.

“Ketika dahulu, penduduk Melayu di sini begitu fasih berkomunikasi dalam bahasa Siam,  namun kefasihan berkomunikasi dalam bahasa siam kini semakin berkurangan.

“Mukim Tobair luasnya 40.4 kilometer persegi bersempadan dengan Mukim Tualang di utara, Mukim Guar Kepayang di Selatan, Mukim Bukit Raya dan Tajar di Barat, Mukim Rambai dan Padang Kerbau di sebelah Timur,” katanya.

Menurutnya, seramai 6,864 penduduk di mukim berkenaan yang berbangsa Melayu hidup dalam keadaan harmoni dan keadaan stabil dari segi pentadbiran dan politik.

“Mukim ini terletak dalam Dewan Undangan Negeri (Dun) Tokai dan perbezaan ideologi politik masih di tahap terkawal, manakala kerjasama dari jabatan kerajaan adalah memastikan keamanan berterusan di samping mengekalkan perpaduan,” katanya.

Penghulu Jusof banyak berjasa

Yusof Ahmad atau lebih dikenali sebagai Penghulu Jusof bukan asing lagi bagi penduduk di Mukim Tobiar walaupun beliau sudah lama meninggal dunia.

Jasa dan pengorbanan yang diberikan beliau kepada mukim itu membuat penduduk sentiasa mengingatinya.

Difahamkan, penghulu Jusof merupakan penghulu mukim itu sebelum zaman kemerdekaan lagi dan banyak jasa dan pengorbanan beliau kepada kawasan itu.

Antara yang diceritakan penduduk, beliau menyediakan jalan utama yang ketika itu hanya jalan tanah merah.

Walaupun beliau meninggal dunia kira-kira tahun 1943, namun nama beliau terus tersemat dan diperkatakan oleh penduduk sekitar kawasan itu. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com