Masa Depan Vingada Jadi Tanda Tanya


BURIRAM, THAILAND - Masa depan Nelo Vingada bersama Harimau Malaya kini menjadi tanda tanya susulan prestasi buruk skuad itu sepanjang di bawah bimbingannya sejak Mei lalu.

Apa tidaknya, tujuh perlawanan tanpa sebarang kemenangan dan jurulatih dari Portugal itu turut mengaku ia prestasi terburuknya sepanjang bergelar jurulatih.

Lebih memedihkan, skuad Harimau Malaysia sah tersingkir daripada kempen kelayakan Piala Asia 2019 susulan kekalahan 1-4 kepada Korea Utara di Stadium I-Mobile, malam tadi.

Namun, Vingada dilihat masih belum berputus asa untuk membimbing Harimau Malaya dengan memberi jaminan prestasi skuad itu akan menjadi lebih baik pada masa akan datang.

"Memang saya tidak gembira dengan keputusan malam ini dan ia rekod terburuk saya. Apapun, ia belum berakhir walaupun Malaysia sudah tersingkir dari pusingan kelayakan Piala Asia.

"Malaysia mempunyai pemain muda yang berpotensi untuk masa depan, tapi ia memerlukan masa untuk saya membentuk pasukan mantap.

"Mungkin dalam tempoh kurang daripada dua tahun lagi kami mampu tewaskan Korea Utara. Sekarang ini sasaran utama kami ialah Piala AFF Suzuki tahun depan," katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Malaysia kekal di tangga tercorot Kumpulan B, kempen kelayakan Piala Asia 2019 selepas hanya mengumpul satu mata daripada lima perlawanan.

Selain itu, Vingada mengaku tidak terlalu bimbang terhadap kedudukan Harimau Malaya dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa FIFA).

"Saya lebih bimbang mengenai kekalahan berbanding ranking. Ranking bukan menunjukkan kemampuan sebenar pasukan.

"Jadi, ranking bukan keutamaan saya. Mungkin saya boleh saja minta adakan perlawanan persahabatan dengan pasukan ranking bawahan seperti Brunei untuk mendapatkan mata dalam ranking.

"Tapi ia tidak membantu peningkatan prestasi pasukan, kami perlukan pasukan lebih baik untuk diuji dan pada masa sama pemain boleh belajar banyak perkara," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com