Mahfuz Beri Amaran, PAS Jangan Ungkit Isu Bai'ah


ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar mengingatkan pemimpin PAS termasuk Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man agar tidak membangkitkan lagi isu bai'ah bagi menakutkan ahli PAS untuk menyokong Pakatan Harapan.

Kata Mahfuz, isu bai'ah ini telah lama berlalu dan tidak harus digunakan untuk menutup kelemahan PAS.

Menurut Mahfuz, masa hendak tubuh Parti Amanah Negara (PAN), terdapat banyak pendapat dilontarkan oleh cendekiawan Islam yang memberi pandangan mengenai isu bai'ah tersebut.

"Jangan jadikan isi bai'ah ini untuk tutup kelemahan yang ada pada PAS dan bagi saya isu ini telah berlalu," kata Mahfuz mengulas keputusan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) PAS Anak Bukit, Datuk Ir Amiruddin Hamzah yang mengambil keputusan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kelmarin.

Tuan Ibrahim semalam mengingatkan Amiruddin tentang tanggungjawab bai'ah yang beliau lafazkan sebelum dicalonkan bertanding mewakili PAS sebelum ini.

Tiap ADUN dan Ahli Parlimen PAS dikatakan terikat baiah, iaitu angkat sumpah dengan nama tuhan untuk tidak meninggalkan parti. Jika melanggar sumpah itu maka jatuh talak dengan isteri masing-masing. 

Bagaimanapun baiah seperti itu (jatuh talak) dikatakan hanya tertakluk di negeri Kelantan sahaja.

Turut mengingatkan Adun Anak Bukit itu ialah Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkenaan bai'ah yang dilafazkan atas nama Allah ketika mengisi borang pencalonan mewakili PAS dahulu.

Malah tegasnya, bukan sekali Amiruddin berbai'ah, tetapi beberapa kali sejak beliau dipilih menjadi calon PAS sama ada PRU mahupun PRK.

Dalam perkembangan yang sama kata Mahfuz lagi,  ahli dan pemimpin PAS kini mempunyai pilihan untuk menyokong Pakatan Harapan jika merasa tidak selesa dengan pendekatan yang dibawa oleh PAS.

"Tidak ada masalah untuk ahli PAS menyokong mana-mana parti dalam Pakatan Harapan walaupun masih menjadi ahli PAS, kata Mahfuz.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com