Maahad Tahfiz Berdaftar, Tidak Berdaftar Dibantu Selenggara - Tajudin


ALOR SETAR - Sebanyak 36 maahad tahfiz di negeri Kedah termasuk yang tidak berdaftar dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal menerima manfaat dan bakal menikmati penyelengaraan secara percuma.

Exco Kerajaan Negeri, Datuk Tajudin Abdullah berkata, tidak hanya menukar wayar lama yang memungkinkan ancaman litar pintas, sistem pendawaian dan peralatan elektrik seperti suis, kipas siling dan dinding, serta lampu kalimantang turut  ditukar kepada yang baru.

"Untuk negeri Kedah, kita telah mengenal pasti sebanyak 36 buah maahad tahfiz yang sangat memerlukan penyelenggaraan sistem pendawaian semula oleh Giat Mara.

"Maahad-maahad tahfiz yang kita kenal pasti ini ada yang berdaftar dan ada yang tidak. Tapi demi keselamatan, kita tak usah kiralah itu semua. Yang berdaftar kita bantu, yang tidak berdaftar pun kita akan bantu," katanya ketika ditemubual Kedahnews.com, di sini hari ini.


Tajudin berkata demikian ketika ditemui sejurus membuat ucapan penggulungan perbahasan Bajet Kedah 2018 yang dibentang oleh Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah di sidang Dewan Undangan Negeri (Dun), di Wisma Darul Aman, di sini.

Mengulas lanjut, Tajudin berkata, program bernilai RM1.08 juta itu menyediakan peruntukan sehingga RM30,000 bagi setiap maahad tahfiz tersebut dan sedang giat dijalankan.

"Program ini bermula semalam sebenarnya. Giat Mara sudah mula melakukan penyelenggaraan di maahad tahfiz yang terletak di Pokok Sena.

"Jadi kita ucap terima kasih kepada Perdana Menteri, KKLW, Giat Mara dan semua pelatih-pelatih yang terlibat dalam memberikan khidmat terbaik ini kepada orang Kedah," ujar beliau.

Selain itu, Tajudin turut menjelaskan bahawa pihaknya sentiasa membuka ruang kepada maahad-maahad tahfiz yang memerlukan penyelenggaraan sistem pendawaian di negeri ini tampil mengemukakan permohonan masing-masing.

Kata beliau, pengusaha-pengusaha maahad tahfiz berkenaan boleh terus memohon dari pejabat Exco Kerajaan Negeri dan pihaknya akan cuba berusaha membantu mereka menerusi program NBOS di bawah seliaan KKLW ini.

"Kepada pengusaha maahad tahfiz sama ada berdaftar dengan kerajaan atau tidak, namun amat memerlukan bantuan penyelenggaraan ini, mereka boleh datang ke pejabat saya di sini untuk memohon.

"Kita mengalu-alukan dan akan cuba bantu sedaya upaya cari peruntukan lagi untuk atasi masalah yang mereka hadapi," katanya lagi.

Selain itu, program berkenaan juga akan memastikan spesifikasi maahad-maahad tahfiz berkenaan mematuhi piawaian keselamata yang ditetapkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JPBM) dan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Menurut beliau, ia adalah penting bagi memastikan langkah-langkah keselamatan di premis tersebut selamat digunakan oleh para pelajar dan kakitangan maahad-maahad tahfiz berkenaan.

"Ia termasuklah keperluan yang mendesak seperti pintu kecemasan kedua, alat pengesan asap atau penggera kecemasan, alat pemadam api, pembaikan kecil bukan struktur utama, grill tingkap dan tangga tambahan di premis berkenaan," jelasnya.

Projek Selenggara Sistem Pendawaian dan Baik Pulih Maahad Tahfiz di bawah KKLW itu adalah inisiatif Perdana Menteri, Dato' Seri Mohd Najib Tun Razak, yang diumumkan Kerajaan Pusat sebelum ini.

Arahan segera itu dibuat Perdana Menteri susulan dari tragedi menyayat hati Maahad Tahfiz Darul Quran Al-Ittifaqiyyah di ibu negara yang mengorbankan seramai 23 nyawa termasuk pelajar dan kakitangan maahad tahfiz berkenaan. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com