Lelaki OKU Berusia 52 Tahun Ditahan AADK Kerian


LELAKI orang kurang upaya (OKU) berusia 52 tahun antara 29 penagih yang ditahan dalam Operasi Perdana Perangi Dadah Habis-Habisan yang dijalankan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Kerian, semalam.

Difahamkan, lelaki yang dikenali sebagai Pak Long itu mengalami kecacatan pada kaki kanannya akibat kemalangan jalan raya 16 tahun lalu dan sudah lima kali ditahan AADK atas kesalahan sama.

Menurutnya, dia yang mempunyai dua orang anak yang sudah berumah tangga memberikan alasan terpengaruh dengan rakan menyebabkan dia mula menghisap dadah.

"Selepas terbabit kemalangan jalan raya 16 tahun lalu dan setelah ketiadaan kedua orang tua, saya bosan tinggal bersendirian di rumah ditambah pula dua orang anak sudah berumah tangga.

"Disebabkan itu, saya mula menghisap dadah yang diberikan rakan dan mula rasa seronok sehinggakan menjadi ketagih, saya sanggup tidur di 'port' kerana tidak mahu berulang alik.

"Makan minum serta bekalan dadah semuanya dikongsi dengan rakan-rakan," katanya.

Pak Long yang tinggal di sebuah kampung berhampiran Parit Tanjung Piandang, Parit Buntar, dicekup pihak AADK sewaktu dia sedang tidur di sebuah pasar awam lama di Tanjung Piandang.

Sementara itu, Ketua Unit Penguatkuasaan AADK Kerian, Shahrul Nizam Baharuddin berkata, operasi terbabit disertai 15 anggota dan turut disertai anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kerian.

Menurutnya, operasi selama lapan jam bermula jam 6 pagi hingga 2 petang itu, pihaknya berjaya menahan 29 penagih berusia antara 21 hingga 75 tahun.

"Dalam ujian saringan yang dijalankan,seramai 28 penagih positif dadah jenis Morfin manakala seorang lagi positif Methampetamin.

"Operasi pada hari ini hanya tertumpu di bangunan pasar awam lama yang tidak lagi beroperasi sejak dua tahun lalu.

"Kesemua yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998 dan akan direman selama 14 hari bermula esok," katanya ketika ditemui media di Pejabat AADK Kerian.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com