Lelaki Dari Pendang Derita Kaki Bengkak Selama 26 Tahun


ALOR SETAR - Seorang lelaki dari daerah Pendang, Kedah menderita apabila disahkan menghidap masalah bengkak kaki selama 26 tahun sejak usianya 12 tahun.

Mohd Anuar Syffuddin Mohamad Amin, 38, berkata, meskipun menghidap masalah bengkak kaki sejak kanak-kanak namun dia tidak pernah merasa sakit dan masih mampu bergerak.

“Walaupun kaki saya bengkak, tapi saya boleh jalan macam biasa dan boleh bekerja, tetapi sejak tiga minggu lalu saya sangat sakit dan tak mampu nak bergerak,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pondok Haji Hussain, pada Isnin.

Mohd Anuar tinggal di sebuah rumah di dalam kawasan pondok yang diwakafkan bersama isteri dan empat anaknya berusia enam hingga 10 tahun.

“Alhamdulilah, walaupun rumah yang kami duduki tiada bilik tapi kehidupan di sini agak selesa.

“Saya tak kisah tentang rumah, tapi sekarang ini saya runsing memikirkan masa depan anak-anak saya,” katanya yang dipetik Sinar Online.


Tambahnya, dulu dia bekerja di medan selera Pendang dengan gaji harian sebanyak RM40.

“Walaupun kaki saya bengkak, saya tetap boleh pi kerja sebab tak sakit. Tapi saya mula sakit masa bencana banjir, baru-baru ni.

“Saya demam teruk dan sehingga hari inilah saya tak boleh bergerak. Kepala pun saya tak boleh nak pusing kiri kanan,” ujarnya.

Selain itu, dia pernah merujuk kepada pakar perubatan berkaitan kakinya yang membengkak dan doktor hanya memberitahu ia kesan gigitan nyamuk.

“Saya sangat risau. Kalau saya berterusan sakit begini macam mana saya nak sara anak-anak, tambahan pula tahun depan sekolah nak buka, macam mana saya nak sediakan keperluan depa,” jelasnya.

Bagi isterinya, Siti Hindun Abdul Rashid, 33, berkata, dia tiada kemahiran menunggang motosikal mahupun memandu kereta bagi membolehkannya keluar bekerja.

“Kadang anak pi sekolah pun saya minta tolong kawan mai ambil dan pi hantar sekolah,” katanya lagi.

Sementara itu, Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Syaffrey Ibrahim berkata, pihaknya ada berkunjung ke rumah Mohd Anuar bagi memberikan bantuan yang diperlukan.

“Siasatan telah dijalankan dan mendapati keluarga ini tinggal dalam keadaan sederhana.

"Tindakan awal yang telah diambil oleh pegawai kes adalah memberi bantuan kewangan iaitu Tabung Bantuan Segera (TBS) sebanyak RM200 sekali gus.

“Tindakan susulan adalah mempertimbangkan Bantuan Kanak-Kanak di atas nama isteri Mohd Anuar, insya-ALLAH,” katanya. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com