Lebih Sejuta Tontonan, Parodi Tak Tun Tuang Popularkan Andi Bernadee


KUALA LUMPUR  - Pernah tular gara-gara aplikasi nyanyian Smule suatu ketika dahulu dek kemerduan suaranya, Andi Bernadee, 26, baru-baru ini sekali lagi menjadi perhatian umum setelah memuat naik klip video parodi lagu Tak Tun Tuang di media sosialnya.

Mendapat tontonan melebihi sejuta kali, Andi yang baru sahaja melancarkan single Tiada Lagi Maaf hasil ciptaannya dan ND mengharapkan situasi tersebut membantu melancarkan kempen promosi lagu pertamanya itu.

Bernaung di bawah label Warner Music Malaysia, Andi memberitahu tujuannya memuat naik video parodi berkenaan adalah sekadar suka-suka kerana minatnya terhadap bidang nyanyian.

“Apabila diubah beberapa bait liriknya untuk menambahkan elemen lelucon atau lucu, tidak sangka video itu berjaya menarik minat ramai netizen.

“Sebelum ini saya memang selalu memuat naik klip video sebegini menyanyikan lagu saduran penyanyi lain, tetapi inilah yang paling ramai diminati.

“Kebetulan, lagu nyanyian asal Upiak Isil dari Padang, Indonesia itu sangat menarik untuk diparodikan kerana muziknya yang rancak serta liriknya yang selamba dan bersahaja,” cerita pemuda yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah itu.

Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile yang berdarah kacukan Melayu-Bugis itu bercadang mahu merakamkan semula lagu berkenaan dalam versi bahasa Melayu jika diberi keizinan, namun perlu berbincang dengan syarikat rakamannya terlebih dahulu.

Menurutnya, sejak klip tersebut tular pada minggu lalu, akaun Instagram dan Facebook miliknya telah dihujani dengan ribuan komen serta menerima permintaan menjadi rakan terutama dari Indonesia.

“Mungkin ini adalah peluang saya untuk melebarkan sayap ke sana. Apapun saya perlu fokus terhadap kerjaya nyanyian yang telah diceburi lebih setahun lalu di sini,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com