Latihan Perang ‘Luar Biasa’ Korea Selatan - AS


SEOUL – Kapal perang Korea Selatan menyertai tiga kapal pengangkut pesawat Amerika Syarikat (AS) semalam dalam latihan mempamerkan ‘kekuatan luar biasa’ yang menyasarkan Korea Utara.

Latihan ketenteraan bersama selama empat hari di barat Pasifik itu melibatkan tiga kapal pengangkut pesawat termasuk USS Ronald Reagan, USS Nimitz dan USS Theodore Roosevelt selain tujuh kapal perang Korea Selatan serta tiga kapal pemusnah, kata Kementerian Pertahanan Seoul.

Latihan ketenteraan tersebut merupakan yang pertama seumpamanya membabitkan tiga kapal pengangkut pesawat serentak di rantau tersebut dalam tempoh sedekad.

“Latihan ini bertujuan meningkatkan pencegahan terhadap ancaman nuklear dan peluru berpandu Korea Utara serta mempamerkan kesediaan menangkis sebarang tindakan provokasi oleh Korea Utara,” kata seorang jurucakap kementerian.

Korea Utara yang memiliki senjata nuklear sering mengecam latihan ketenteraan sedemikian sebagai latihan untuk melakukan serangan dan kadangkala melakukan tindak balas pergerakan tentera atau ujian peluru berpandu.

Kapal perang AS terbabit akan me­nyer­tai latihan pertahanan udara, pe­ngawasan laut, latihan tempur pertahanan udara dan operasi latihan lain, kata Tentera Laut AS.

Latihan itu diadakan sejurus lawatan Presiden AS, Donald Trump ke Seoul dan Beijing minggu ini yang turut memberi tumpuan mengenai bagaimana mahu menangani ancaman senjata nuklear Pyongyang.

Dalam ucapan kepada Parlimen Korea Selatan pada Rabu lalu, Trump memberi amaran kepada Korea Utara agar tidak memandang rendah kepada AS dan menawarkan pemimpin negara itu, Kim Jong-un masa depan yang lebih baik jika beliau meninggalkan impian senjata nuklearnya.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com