Lantai Kelab Malam Gay Runtuh, 22 Cedera


MADRID, Sepanyol – Seramai 22 orang cedera, kebanyakannya me­ngalami patah tulang dan lebam selepas sebahagian lantai sebuah kelab malam di pulau peranginan Sepanyol, Tenerife runtuh awal semalam, kata beberapa pegawai tempatan.

Mereka berkata, kejadian menyebabkan pengunjung jatuh ke tingkat bawah tanah kelab malam itu.

Perkhidmatan kecemasan bergegas ke kelab malam di Adeje, barat daya Tenerife itu kira-kira pukul 2.30 pagi selepas menerima laporan bahawa sekitar empat meter persegi lantai premis runtuh, kata pentadbiran Kepulauan Canary, Sepanyol dalam satu kenyataan.

“Selepas lantai runtuh, mereka yang berada di dalam kelab malam ini jatuh ke ruang bawah tanah pada ketinggian satu tingkat,” katanya.

Pihak bomba mengosongkan kelab malam itu, manakala 22 mangsa yang cedera dibawa ke hospital termasuk dua daripada mereka mengalami kecederaan serius.

Kecederaan dialami pengunjung termasuk patah kaki, terseliuh pergelangan kaki dan lebam. Dua warga Perancis dan masing-masing seorang rakyat Belgium serta Romania antara ­mangsa yang cedera.

Sumber – AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com