KUIN Utamakan Pelajar Luar Negeri Yang Berkualiti - Tajul Urus


ALOR SETAR- Kolej Universiti Insaniah  (KUIN) lebih mengutamakan kualiti pelajar daripada luar negeri dan bukannya bergantung kepada bilangan yang ramai, kata Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan negeri, Datuk Tajul Urus Mat Zain.

Kata beliau, kualiti pelajar merupakan antara syarat yang ditetapkan untuk membolehkan KUIN dinaik taraf sebagai universiti penuh.

"Kita telah menerima tawaran daripada pelajar luar negeri untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana dan kedoktoran.

Dalam masa yang sama pihak KUIN turut membuat promosi pada Oktober lalu dan November ini , " ujarnya menjawab pertanyaan Md Zuki Yusof (PAS-Kuala Ketil) di sidang Dewan Undangan Negeri hari ini.
.
Tajul Urus bagaimanapun mengakui bilangan pelajar luar negeri di KUIN kini tidak sampai 20 peratus daripada jumlah keseluruhan pelajar.

Menurut beliau, KUIN telah menawarkan pekej istimewa untuk menarik 300 pelajar luar negeri dan telah menerima permintaan daripada pelajar baharu daripada Thailand dan Indonesia untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana dan PhD.

Sementara itu Tajul Urus menjelaskan, KUIN dalam proses mendapatkan status universiti penuh dengan nama baharu Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu´adzam Shah (UniSHAMS).

Beliau memberitahu kolej universiti sedang dalam proses menggerakkan perancangan strategik bagi memenuhi satu sahaja lagi daripada lima syarat minimum ditetapkan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) untuk mendapatkan status universiti penuh.

Katanya lima syarat perlu dipenuhi untuk mendapatkan status universiti penuh iaitu kursus ditawarkan mematuhi akreditasi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), tahap kebolehpasaran graduan 70 peratus, 80 peratus kakitangan akademik berkelulusan sarjana, perlu mempunyai 20 peratus pelajar antarabangsa dan 30 peratus kos pengoperasian untuk tujuan penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Daripada lima syarat ini, hanya satu syarat yang masih diusahakan Kuin untuk dipenuhi iaitu syarat keempat, bilangan pelajar antarabangsa 20 peratus.

"Apabila syarat ini telah lengkap dipenuhi, pengurusan KUIN akan memajukan permohonan pendaftaran universiti ini kepada KPT, " katanya.- Kedahnews.com


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com