Kucing Liar 'Suspek' Cubaan Bunuh


Kumamoto (Jepun) - Siasatan polis terhadap kes cubaan bunuh membabitkan seorang wanita tua yang terlantar sakit membawa kepada suspek yang sangat tidak disangka iaitu seekor kucing liar.

Mayuko Matsumoto, 82, yang terlantar di katil ditemui dalam keadaan berlumuran darah oleh anak perempuannya pada 6 November lalu dengan hampir 20 kesan kelar di muka.

“Saya terkejut melihat mukanya penuh dengan darah. Saya tidak tahu apa yang berlaku pada ibu saya,” kata anak mangsa.

Media melaporkan, polis menyiasat kes itu sebagai cubaan bunuh kerana mengesyaki wanita berkenaan diserang dengan pisau.

Polis pada mulanya bingung apabila tidak menemui sebarang kesan pecah masuk dan sebarang bukti ditinggalkan suspek di rumah mangsa.

Keadaan mangsa yang tidak boleh bercakap kerana sakit menyukarkan lagi polis untuk mengenal pasti suspek yang menyerangnya.

Bagaimanapun, pemeriksaan lanjut kemudian mendapati kecederaan yang dialami wanita itu hampir sama seperti kesan cakaran kucing.

Polis mencari berapa ekor kucing liar yang sering berkeliaran di rumah wanita itu dan menjumpai kesan darah pada badan seekor haiwan berkenaan.

Sampel darah pada kucing berkenaan kini diambil untuk dianalisis bagi memastikan sama ada ia sepadan dengan darah mangsa atau tidak.

Sumber - Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com