KFA Akan Segera Rayu Slot Lang Merah Dibenar Bertanding Piala AFC


ALOR SETAR - Persatuan Bola Sepak Negeri Kedah (KFA) akan segera membuat rayuan supaya diluluskan menyertai Piala AFC sekiranya benar dakwaan sumber sebuah akhbar yang mengatakan slot Lang Merah ke piala berkenaan telah diisi oleh pasukan Pahang. 

Naib Presiden KFA, Dato' Badrol Hisham Hashim berkata, pihak persatuan belum menerima sebarang "hitam putih" berhubung perkara tersebut hingga kini, namun akan cuba sedaya upaya mendapatkan hak Lang Merah untuk mengiringi skuad Johor Darul Takzim (JDT) menyertai kejohanan berkenaan. 

"Jika benar seperti yang dikata sumber akhbar itu, maka kita akan cuba sedaya upaya untuk merayu kepada pihak berkenaan. 

"Kita sebelum ini sudah menyerahkan segala keperluan untuk memenuhi syarat. Kita harap sangat kerjasama semua pihak untuk dapat membenarkan Lang Merah bertanding dalam Piala AFC," katanya kepada Kedahnews.com ketika ditemui di Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, di sini hari ini. 

Sebuah akhbar semalam melaporkan kenyataan sumber dalaman Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang mendakwa slot untuk skuad Kedah ke Piala AFC telah diganti oleh pasukan Pahang. 

Kenyataan tersebut mendakwa KFA telah gagal memenuhi syarat yang ditetapkan dan hanya diluluskan bertanding di dalam Liga Malaysia sahaja pada musim depan. 

"Mereka gagal melepasi syarat yang ditetapkan dan kami sudah menyerahkan surat kepada PBNP (Persatuan Bola Sepak Negeri Pahang) untuk mengisi kekosongan Kedah itu. 

"Pahang pula diberi tempoh sehingga 15 November ini (esok) untuk menyatakan persetujuannya," kata sumber berkenaan kepada akhbar itu. 

Mengulas mengenai usaha memenuhi syarat yang ditetapkan, Badrol Hisham meluahkan rasa hairannya kerana beliau mendakwa bahawa pihak pengurusan KFA telah pun melunas segala ketetapan yang diminta sebelum ini. 

Namun begitu katanya, pihak KFA akan merayu dan memohon jasa baik FAM serta semua pihak terbabit untuk menyokong serta memberi kesempatan kepada Lang Merah beraksi dalam kejohanan Piala AFC tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com