Kerajaan Disaran Beri Peluang GLC Laksana Projek Pembangunan Di Bukit Kayu Hitam


ALOR SETAR - Kerajaan disaran memberi peluang kepada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) negeri Kedah untuk turut sama melaksanakan projek pembangunan zon bebas cukai di Bukit Kayu Hitam.

Datuk Ahmad Zaini Japar (BN- Bukit Kayu Hitam) ketika membuat cadangan itu berkata, ini secara tidak langsung dapat membantu anak syarikat kerajaan negeri menjana pendapatan hasil daripada projek tersebut.

Sementara itu, kata Ahmad Zaini, tanah di kawasan Bukit Kayu Hitam kini meningkat harga berikutan pegumuman kerajaan untuk membangunkan zon bebas cukai dan projek lain berhampiran pintu masuk utama di sempadan Malaysia - Thailand itu.

" Sehubungan itu saya menyokong Bajet 2018 yang dibentang oleh Menteri Besar dan Perdana Menteri kerana ia ternyata memberi faedah kepada rakyat di Kedah khasnya penduduk Bukit Kayu Hitam", kata semasa mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2018 di Sidang Dewan Undangan Negeri di sini semalam.

Pada Bajet 2018, kerajaan juga mengumumkan pemasuhan tol di Bukit Kayu Hitam.
Ahmad Zaini yakin pemansuhan tol itu membuktikan suara rakyat diambil kira oleh kerajaan Persekutuan. 

Sementara itu, Nor Saidi Nanyan (BN- Kuah) ketika mencelah perbahasan  Datuk Phahrolrazi Zawawi ( PAN- Pengkalan Kundur) menafikan ekonomi Malaysia merudum hingga rakyat berada dalam kesusahan.

Kata Nor Saidi, rakyat Malaysia mempunyai banyak pilihan jika ekonomi teruk, tetapi ramai rakyat Malaysia kini masih melancong di dalam dan luar negara di samping berbelanja di gedung membeli belah.

" Ini membuktikan rakyat masih ada wang dan saya berharap pembangkang perlu adil dalam membuat perbandingan, " kata Nor Saidi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com