Kenapa Marina Bidas Budaya Arab Tetapi Tidak Budaya Barat?


ALOR SETAR - Tindakan Datin Paduka Marina Mahathir membidas penyebaran budaya Arab di negara mendapat perhatian seorang pegawai khas di Pejabat Penasihat Perdana Menteri.

Datuk Fathul Bari Mat Jahaya mempersoalkan tindakan pengasas Sisters In Islam (SIS) yang membidas penyebaran budaya Arab di negara ini, namun tetap membisu terhadap kemasukan budaya barat yang menyebabkan budaya tempatan terhakis.

Menurutnya, cara Marina mempromosikan dirinya bagaimanapun tidak menonjolkan ciri atau budaya Melayu.

“Cara dia mempromosikan diri dia bukan budaya Melayu sangat pun. Kalau sekiranya contohnya dia memakai baju kebaya ke, pakai kain batik ke, ada nampak ciri-ciri budaya Melayu.

“Cakap soal Islam, budaya Melayu dengan Islam sangat dekat. Tak perlulah dia nak cakap budaya Arab Saudi masuk. Sekarang ini budaya barat masuk, ada ke dia bercakap?

“Budaya kuning masuk, konsert sana sini yang teruk-teruk, pesta sana sini mana suara dia? Kalau ada suara dia bercakap tak apa, tapi dia tak bercakap, maknanya adakah dia sekarang membawa budaya barat masuk dalam negara kita untuk menolak budaya Islam?” katanya.

Fathul berkata demikian sebagai mengulas kenyataa Marina yang mengaitkan pemikiran dan dasar Islam tegas semakin berkembang di pelbagai peringkat kerajaan serta masyarakat, dengan pengaruh Arab Saudi.

Perkara itu menurut Marina, telah menyumbang kepada terhakisnya budaya tempatan lantas digantikan dengan budaya Timur Tengah.

Tambah Fathul, budaya Arab hanya perlu ditolak sekiranya ia membawa kepada kekerasan atau budaya negatif ke Malaysia.

“Tapi (bagaimana) sekiranya dia (Arab Saudi) membawa Islam, cuba menonjolkan keadilan Islam, keamanan, kesejahteraan sepertimana King Salman Centre, nak bicara soal keselamatan negara?” soalnya. 

Julai lalu, perdana menteri mengumumkan peruntukan tanah seluas 16 hektar di Putrajaya untuk menubuhkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman (KSCIP) yang diilhamkan susulan kunjungan Raja Salman ke Malaysia, Februari lalu.

Antara yang terlibat dalam penubuhan KSCIP ialah Kementerian Pendidikan Tinggi melalui Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) yang akan bekerjasama dengan sebuah institut di bawah Kementerian Pertahanan Arab Saudi, Markaz Harb Fikriah (Pusat Peperangan Ideologi).

Turut terlibat ialah Rabitah Alam Al-Islami (Liga Muslim Dunia), sebuah pertubuhan yang aktif dalam kegiatan dakwah di seluruh dunia, tetapi mengundang kontroversi berkaitan penyebaran fahaman Wahabi, aliran Islam yang menjadi pegangan pihak berkuasa Arab Saudi untuk sekian lama.

Dengan dilimpahi wang Saudi selama beberapa dekad, Liga Muslim Dunia membiayai pembinaan pusat Islam berskala besar di bandar raya Eropah dan mempromosi kegiatan dakwah Islam di Asia dan Afrika.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com