Kedah Cadang Jual Semua Tiket Bolasepak Secara 'Online'


ALOR SETAR -  Persatuan Bolasepak Kedah (KFA) akan mencadangkan Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) menjual semua tiket untuk perlawanan akhir bolasepak di negeri ini  l secara online pada masa akan datang bagi mengelak rasa tidak puas hati penyokong yang gagal mendapat tiket terutama ketika Kedah layak ke final Piala Malaysia dan piala yang lain dalam liga bolasepak Malaysia.

Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Negeri, Datuk Aminnudin Omar turut menepis dakwaan bahawa penjuaan tiket dibolot oleh parti politik semasa perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kedah dan JDT baru-baru ini.

"Tuduhan tiket diberikan kepada puak tertentu oleh pemimpin politik pembangkang adalah tidak benar, sebaliknya ada pihak yang cuba mempolitikkan isu penjualan tiket itu untuk meraih sokongan daripada para penyokong bolasepak yang gagal mendapat tiket,"kata Aminuddin semasa menggulung perbahasan di Dewan Undangan Negeri, hari ini.

Isu kehabisan tiket dengan cepat pada perlawanan akhir lalu menarik perhatian ahli Dewan Undangan Negeri pembangkang termasuk Datuk Seri Mukhriz Mahathir (PPBM) Ayer Hitam dan Mohd Nasir Mustafa (PAS-Kubang Rotan).

Dewan bertambah gamat apabila ADUN BN bangun untuk meminta Nasir duduk kerana membuat dakwaan dan tuduhan bahawa tiket diagihkan kepada penyokong UMNO.

Aminuddin menjelaskan bahawa semasa penjualan tiket dibuat di stadium ianya dipantau sepenuhnya oleh pegawai Surahanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Malah pihak SPRM yang meneliti satu persatu cara penjualan tiket itu dibuat menyatakan puas hati dengan KFA dalam mengagihkan tiket  perlawanan akhir Piala Malaysia " kata Aminuddin lagi.

Katanya, KFA akan memperbaiki kelemahan dalam perkara penjualan tiket ini di masa depan agar dapat memuaskan hati penyokong Kedah walaupun tidak dapat mencapai 100 peratus.

Dalam masa yang sama  kata Aminuddin, pihak KFA tidak dapat mengenal pasti antara penyokong tegar atau penyokong politik tertentu kerana bagi KFA semua mereka yang ingin menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysa itu adalah penyokong tegar pasukan Kedah.

Beliau menjelaskan lagi, keghairahan penyokong Lang Merah untuk menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia di Stadium Shah Alam adalah luar biasa sekali pada tahun ini.

Katanya, sasaran awalnya 200 buah bas akan memohon permit untuk membawa penyokong Kedah, tetapi akhirnya bertambah menjadi 400 buah bas.


Daripada 30,000 tiket yang diperuntukkan, sebanyak 18,000 tiket dijual kepada pihak yang menempah 400 buah bas termasuk kelab gabungan, 8,000 lagi tiket dijual secara terbuka di Stadium Darulaman manakala selebihnya dijual seacra online dan diperuntukkan kepada kakitangan KFA dan pihak penaja bolasepak Kedah, kata Aminuddin
.
" Kita tidak boleh menolak penjualan tiket kepada kumpulan yang menempah tiket dan mereka yang menyewa bas kerana mereka semua adalah penyokong Kedah, " ujarnya lagi.    

Beliau menjelaskan KFA mengenalpasti terdapat lebih setengah juta penduduk negeri ini adalah penyokong bolasepak Kedah dan pihaknya tidak dapat memenuhi permintaan semua pihak.

Bagaimanapun Aminuddin menyatakan kebanggaan kerana pengurusan dan pembangunan bolasepak negeri yang baik menyebabkan kejayaan pasukan Kedah merangkul Piala Malaysia,Piala FA dan Piala Sumbangsih selain kejayaan barisan pelapis dalan beberapa kejuaraan.

"Kejayaan pasukan Kedah sejak kebelakangan ini dan isu tiket yang tidak pernah cukup inilah yang memeriahkan bolasepak di negeri ini dan disegani oleh pasukan negeri dan kelab dalam liga bolasepak Malaysia, " kata Aminuddin sambil disambut  tepukan ADUN BN. - kedahnews.com




No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com