'Jangan Sampai TMJ Putus Asa' - KJ


KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin, mengakui bimbang jika kritikan yang berterusan akan membuatkan kepimpinan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), yang diketuai Tengku Ismail Sultan Ibrahim, atau TMJ, berputus asa dan enggan terbabit lagi dalam pembangunan bola sepak tempatan.

Kata Khairy, FAM sedang berusaha untuk melakukan perubahan positif terhadap bola sepak tempatan, namun kritikan yang dibuat tanpa usul periksa boleh membantutkan usaha itu.

"Kepimpinan FAM sekarang sedang cuba mendapatkan pendapatan daripada hak siaran televisyen untuk diberikan kepada pasukan. Itu akan memberi keuntungan dan keadilan kepada pasukan serta satu perubahan yang baik.

"Begitu juga isu menambah kuato pemain import. Apa yang saya nampak, ia akan menambah nilai liga kita di negara luar. Tetapi sebaliknya, pengkritik hanya melihat kesan negatifnya sahaja.

"Apa yang saya risau, jika kepimpinan sekarang merasakan apa yang dilakukan mereka tidak berbaloi dan menghentikan usaha-usaha mereka. Siapa yang rugi nanti?" tanya Khairy.

Khairy menjawab pertanyaan media selepas merasmikan Perhimpunan Agung Pemuda MyPPP, di ibu negara semalam.

Beliau turut bersetuju dengan pendapat Tengku Ismail yang tidak terkejut dengan kejatuhan ranking skuad negara.

Ini kerana, ranking itu diambil kira selepas musim perlawanan kelayakan Piala Asia, yang menyaksikan Malaysia berdepan dengan beberapa pasukan gergasi Asia.

Kata Khairy, semua pihak harus mengakui pasukan negara masih terlalu jauh jika mahu dibandingkan negara-negara seperti Lubnan dan Korea Utara.

"Kejatuhan ranking itu tidak mengejutkan, seperti yang dikatakan Tengku Ismail. Ini kerana kita berhadapan dengan banyak pasukan hebat dari Asia dan tewas

"Jadi apabila dikira untuk ranking, sudah tentu kedudukan kita jatuh," katanya.

Sumber: Astro Awani

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com