“Jangan Manja, Makan 'Gaji Buta'”


PETALING JAYA - Pemain tempatan jangan 'serah diri' atau makan 'gaji buta' apabila lima pemain import berada dalam pasukan, ujar Presiden Persatuan Jurulatih Malaysia.

Menurut B.Sathianathan, 59, keputusan baharu membawa lima pemain import termasuk seorang dari Asean adalah untuk memberi impak positif dalam Liga Malaysia.

"Kalau nak main tahap kita saja, kita tidak akan berubah. Contohnya, katakan JDT (Johor Darul Ta'zim) atau pasukan lain yang wakil negara ke Piala AFC pastinya mereka akan berdepan dengan kelab-kelab yang menggunakan pemain import.

"Manakala kita pula, tidak akan pergi jauh. Jadi bagi saya sebagai jurulatih, pemain import boleh memberi impak positif. Pemain muda kena tiru mereka, bukan sahaja di dalam padang tetapi juga di luar padang.

"Di luar padang maksudnya macam mana dia (pemain import) jaga diri, jaga pemakanan. Tetapi kita kena bawa pemain import yang baik. Tak perlu 'superstar', tetapi yang menunjukkan profesional yang tinggi," ujarnya kepada mStar Online.

Sathianathan yang juga bekas jurulatih kebangsaan berkata, era bola sepak profesional tidak ada istilah belas kasihan.

"Kalau nak cakap dulu kita menang Piala AFF tanpa pemain import, itu sudah ketinggalan zaman. Thailand boleh menang Piala AFF, Piala Tiger dengan pemain import.

"Kalau kita tidak ada pemain import, ia akan hambar dan seperti berada di takuk lama. Malah sekarang juga pemain tempatan kena belajar macam mana nak bersaing dengan pemain import.

"Jangan kata tak kisah duduk di bangku simpanan, hanya serah diri sahaja. Buat apa nak makan gaji buta?.

"Kelab negara luar, contohnya CHELSEA image: http://cdncache-a.akamaihd.net/items/it/img/arrow-10x10.png yang menggunakan empat atau lima orang pemain import, tetapi England layak juga ke Piala Dunia.

"Saya sudah 25 tahun menjadi jurulatih. Saya tahu situasi bola sepak kita. Jangan manjakan sangat pemain tempatan," jelas jurulatih Felda United ini.

Dalam pada itu, Sathianathan memberitahu, situasi ini adalah cabaran buat jurulatih yang menguruskan pasukan.

"Kita mempunyai lebih kurang 600 pemain tempatan dalam Liga Malaysia selepas menolak kuota pemain import.

"Dalam jumlah besar pemain tempatan itu tidak ada pemain yang mempunyai standard tinggi untuk membantu pasukan negara. Siapa salah? Nak kata pemain tempatan tak bagi jadi penyerang...jurulatih dah bagi.

"Jadi mereka jangan 'rileks' dan salahkan pemain import.

"Satu lagi saya mahu cakap kuota baharu untuk pemain Asean adalah sesuatu yang sangat positif kerana ia melibatan liputan luar. Macam sekarang peminat Indonesia pun tahu Andik bermain untuk Selangor. Secara tidak langsung mereka turut menonton Liga Malaysia.

"Lagi satu pemain Asean lebih murah berbanding pemain tempatan. Sebagai contoh, saya mahu mengambil pemain Datuk Ong Kim Swee (Bawah 22) yang harganya mencecah RM30 hingga RM35 ribu.

"Baik saya ambil pemain pemain kebangsaan Indonesia yang harganya lebih kurang RM25 ribu. Pemain kita harga pasaran tinggi tetapi tidak berbaloi dengan yang kita bayar. Namun tetap dibayar sebab kita ketandusan pemain yang berkaliber.

"Kalau ada pun  mungkin dalam sepuluh hingga 12 orang pemain sahaja. Jadi mana cukup untuk mengisi 24 pasukan Liga Malaysia.

"Sebagai jurulatih kalau saya letak semua pemain tempatan dan tidak mencapai tahap yang dikehendaki, sudah tentu saya akan dipecat," ujarnya.

Sumber: Mstar Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com