Ironman Langkawi Dedah Kerosakan Jalan Raya


ALOR SETAR - Peserta yang menyertai Kejohanan Ironman Langkawi ke-15 mendedahkan  masalah kerosakan jalan raya yang teruk di pulau mutiara itu sehingga menjejaskan prestasi peserta dalam dan luar negara.

Aduan kerosakan permukaan jalan raya yang berlubang dan berlopak di sepanjang laluan pertandingan berbasikal dan larian itu sudah pasti memberi gambaran negatif kepada pulau lagenda itu.

Pengerusi Jawatankuasa Agama, Pelancongan dan Warisan, dan Kerja Raya Kedah, Datuk Mohd Rawi Abd Hamid, turut mengakui perkara itu dan berkata ianya tidak sepatutnya berlaku dalam penganjuran kejohanan bertaraf antarabangsa di pulau itu.

"Perkara sebegini tidak seharusnya dibiarkan berlaku khususnya dalam penganjuran acara bertaraf antarabangsa," katanya.

Difahamkan, ekoran keadaan permukaan jalan yang berlubang dan tidak rata, ada peserta kejohanan mengalami kecederaan selepas terjatuh ketika berbasikal dalam suasana jalan yang gelap pada sebelah malam.

Tambahnya, sebilangan peserta terpaksa membatalkan hasrat mereka dan tidak dapat meneruskan perlumbaan kerana cedera selepas terjatuh di jalan yang berlubang.

"Sepatutnya mesyuarat koordinasi di antara penganjur dan jabatan-jabatan negeri yang berkaitan perlu dilakukan sebelum acara besar dilakukan bagi memastikan semua kemudahan infrastruktur berada dalam keadaan yang baik," katanya.

Justeru itu,  beliau akan memastikan aduan dan rungutan peserta akan diangkat sewajarnya khususnya untuk menurap semula permukaan jalan yang berlubang dan berlopak, serta penyediaan lampu-lampu jalan yang mencukupi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com