ICQ Padang Besar Sesak, Penduduk Disaran Guna Pintu Masuk Wang Kelian, Durian Burung


ALOR SETAR - Orang ramai yang mahu ke Thailand disarankan supaya menggunakan pintu masuk di Wang Kelian dekat sini atau Durian Burung, Padang Terap, Kedah sebagai alternatif lain bagi mengelak dari berhadapan dengan kesesakan di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQ) Padang Besar di sini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Tinggi, Khaw Hock Kong berkata, ini berikutan pertambahan kenderaan yang melalui ICQ di sini meningkat mendadak kerana cuti persekolahan sudah pun bermula.

Tambah beliau, setiap buah kenderaan dikatakan terpaksa mengambil masa sekurang-kurangnya setengah jam untuk melepasi ICQ.

"Dalam menghadapi keadaan ini, kita berharap semua dapat bersabar supaya tidak berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini," katanya ketika ditemui di ICQ, di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, Pemangku Ketua Imigresen Padang Besar, Rosli Issak berkata, kesesakan itu turut berpunca dari kerja-kerja menaik taraf ICQ yang dijangka akan pulih setelah dijangka siap menjelang pertengahan 2019.

Jelasnya, kesesakan sekarang adalah bersifat sementara demi untuk kebaikan semua pihak dalam jangka masa panjang. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com