Henti Guna Hukum Allah Untuk Ikat Ahli PAS Daripada Keluar Parti - Penganalisis Politik


ERA mengikat orang dengan menggunakan agama sudah pun berlalu. Hari ini golongan yang arif mengenai hal ehwal agama dan hukumnya bukan lagi hanya terdiri daripada pemakai serban dan kopiah putih. 

Cukuplah, berhentilah  menggunakan hukum agama untuk dijadikan tali rapuh mengikat ahli PAS. Berpolitiklah dengan rasional dan menggunakan akal yang sihat.

Demikian pandangan seorang penganalisis dan penulis politik Mohd Sayuti Omar. 

Dalam hal ini Mohd Sayuti berkata, Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man bukan anak jantan kalau masih bermain dengan hukum Allah sebagai ugutan kepada pemimpin yang keluar parti itu.

Katanya,  pengringatan Tuan Ibrahim kepada bekas Yang Dipertua PAS Kuala Kedah, Datuk Ir. Amiruddin Hamzah mengenai baiah yang dilafaz sebelum ini, memperlihatkan Tuan Ibrahim masih cetek ilmu politiknya.

 Amiruddin yang mengisytiharkan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), masih ada tanggungjawab terhadap baiah yang dilafazkan,
kata pemimpin PAS.

Sayuta menerusi blog beliau msomelayu.blogspot.com semalam menegur Tuan Ibrahim kerana masih mahu menggunakan baiah sebagai hukum dari Allah terhadap Amiruddin sepertimana dikenakan kepada wakil rakyat PAS lain.

“Tentulah sebelum buat keputusan Amiruddin sudah berfikir panjang dan telah mendapat keputusan jelas (yakin) berhubung apa yang dibimbangi Tuan Ibrahim itu.

“Bagi Amiruddin, sudah tentu dia telah yakin baiah itu tidak memakan diri dan ia sesuatu helah politik semata-mata yang tidak ada kena mengena dengan soal baiah.

“PAS jangan ingat hanya puak partinya sahaja takutkan neraka, orang llain juga tidak minat dengan neraka,” ujar Sayuti

Kata Sayuti, apa yang difahami, Amiruddin telah mengambil keputusan meninggalkan PAS dan sedar bahawa baiah yang diagung-agungkan oleh parti itu serta dijadikan senjata menakut-nakutkan ahli dan pemimpinnya hanya karut semata-mata.


Ikrar itu  menakutkan bagi mereka yang bertaklik buta, manakala yang memahami agama dengan sumpah itu tidak pun berasa apa-apa, melainkan dianggap sebagai 'hantu' yang bertujuan menakutkan.

Sehubungan itu, ujar beliau, Tuan Ibrahim tidak perlu menggunakan perkara yang karut untuk mengubat hati yang sakit, sebaliknya membiarkan saja Amiruddin meninggalkan PAS.

Berkenaan kenapa Amiruddin menyertai PPBM dan bukan PAN, beliau berkata, sudah tentu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Anak Bukit itu mempunyai strategi tertentu.

“Saya rasa pasti ada strategi tertentu setelah menyedari keadaan dan suasana politik di Kedah kini.

“Boleh jadi juga penyertaan beliau dalam PPBM itu kerana ia lebih memberi keselesaan kepadanya daripada menyertai PAN.

“Sepertimana kata Pengerusi PAN Kedah, Dr. Ismail Salleh, penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM tetap menyuntik kekuatan untuk Pakatan Harapan (PH),” katanya.

Dalam perkembangan yang sama Presiden PAN, Mohamad Sabu juga mengalu-alukan Amiruddin meninggalkan PAS untuk memberikan sokongan kepada Pakatan Harapan walaupun pakatan itu belum diluluskan pendaftarannya kerana halangan daripada masalah PPBM dan DAP sendiri. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com