Gambar Anak Mukhriz Tersebar, Si Penyebar Akan Dikenakan Tindakan


ALOR SETAR - Timbalan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkemungkinan besar akan mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak yang menyebarkan gambar peribadi anak-anaknya.

Katanya, tindakan tersebut perlu kerana ia berbaur fitnah dan beliau akan rujuk perkara itu kepada peguam dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.

“Ada disebut dalam kenyataan itu, konon kemewahan ditunjukkan dalam gambar berkenaan dari sumber yang dikatakan curi wang rakyat. Jika dilapor begitu, saya berhak pertimbang tindakan perundangan kerana itu fitnah serius,” katanya.

Tambahnya, beliau kesal kerana tuduhan berunsur fitnah seumpama itu turut dicetak di salah sebuah akhbar, kelmarin.

“Kita siasat siapa pemilik Facebook itu, termasuk pihak berkaitan. Mereka guna gambar peribadi (keluarga)  untuk beri gambaran negatif terhadap ahli politik dengan libatkan ahli keluarga, ia tak wajar berlaku,” katanya.

Beliau berkata, tuduhan mencuri wang rakyat itu adalah sesuatu yang serius kerana sumber kekayaan yang diperolehi mereka adalah bukan daripada hasil seperti didakwa.

“Saya fikir ia perbuatan pihak sama. Perkara sebegini berlaku secara bersiri, sejak dulu lagi serangan peribadi terhadap saya dan keluarga bertali arus.


"Sebelum ini, pejabat saya dan ahli keluarga diperiksa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) serentak, setelah lebih dua bulan dapat surat katanya salah satu syarikat saya tak bayar cukai RM21,000 (2009), apabila disemak sudah dibayar,” katanya.

Mukhriz turut mempersoal nilai berita yang dipaparkan itu kerana ia bersifat terlalu peribadi.

Kelmarin, akhbar tempatan menyiarkan kemewahan anak-anak Mukhriz bercuti atas bot mewah yang tertera nama anaknya, yang didakwa dimuat naik pengendali akaun Facebook, Sudahlah Mahathir. Gambar itu dikatakan diambil dari Instagram anak Mukhriz ketika bercuti di luar negara. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com