Gaji Minimum Guru Tadika Dibincang Secara Lanjut Dengan TPM


ALOR SETAR – Kementerian Pendidikan akan berbincang secara lanjut dengan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung cadangan kerajaan yang sedang mengkaji mekanisme bagi menyelaras skim gaji guru prasekolah dan tadika di seluruh negara.

Menterinya, Datuk Seri Mahdzir berkata, pelarasan gaji guru prasekolah antara kerajaan dan swasta perlu ada pemurnian bagi kedua-dua pihak. 

Malah tambah beliau, di peringkat kerajaan sendiri mempunyai tiga jenis prasekolah iaitu di bawah kendalian kementeriannya di sekolah kebangsaan, tadika Kemas di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) serta tadika Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

“Kementerian Pendidikan akan adakan satu perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri bagi mendapatkan satu gambaran penuh berkaitan kajian gaji minimum guru prasekolah yang disebut oleh beliau, kementerian akan tengok bagaimana pelarasan ini akan dibuat.

“Kita akan dapatkan satu tarikh daripada beliau untuk kita berbincang dan Kementerian Pendidikan mengambil tanggungjawab penuh untuk beri taklimat penuh berkait dengan prasekolah dan gaji guru prasekolah di bawahnya,” katanya di sini semalam.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis Khatan Perdana Peringkat Padang Terap 2017 di Hospital Kuala Nerang di sini semalam yang dihadiri lebih 105 kanak-kanak dari daerah ini.

Mengulas lanjut tentang kenyataan Ahmad Zahid bahawa, kerajaan sedang merangka satu mekanisme bagi menyelaras skim gaji guru tadika dan prasekolah di seluruh negara.

Jelas beliau, sehingga kini terdapat 6,121 prasekolah di bawah kementeriannya sementara 7,428 prasekolah yang dikendali oleh pihak swasta dengan lesen dikeluarkan pihaknya.

Tambahnya, kementerian sentiasa memastikan kurikulum prasekolah di peringkat kerajaan ini selaras termasuk tadika yang diusahakan oleh pihak swasta.

“Menjelang 2020, kementerian menetapkan bahawa kelayakan guru prasekolah adalah diploma pendidikan awal kanak-kanak.

“Jadi apa yang dicadangkan oleh Timbalan Perdana Menteri sehingga tempoh tersebut adalah bahawa guru-guru boleh mengambil kursus jangka pendek sebelum menjelang tahun 2020,” katanya yang dipetik Utusan Online. -Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com