Elyana Dedah Sudah 7 Tahun Menghidap Kanser


PENYANYI dan pelakon Erneelya Elyana Emrizal, 30, membuat kejutan apabila mengumumkan menghidap kanser limfoma tahap empat.

Pengumuman itu dibuat Elyana sebaik namanya diumumkan tersingkir dari program realiti hiburan terbitan Astro Ria, Gegar Vaganza musim keempat (GV4) di Dewan Sri Putra, Kuala Lumpur, malam tadi.

Ditemui sebaik acara selesai, Elyana berkata, dia berasakan berhak untuk berkongsi berita itu dengan peminat yang menyayangi dan menyokong kerjaya seninya sepanjang bergelar artis.

"Sudah tujuh tahun saya merahsiakan perkara ini daripada pengetahuan mereka. Saya berasakan cukuplah selama ini saya mendiamkan perkara ini daripada pengetahuan mereka.

"Sepanjang tujuh tahun saya menghidap kanser, saya cuba mencari cara dan waktu terbaik bagaimana saya mahu memberitahu kepada peminat. Dan saya berasakan apabila saya tersingkir dari GV4, ia adalah satu peluang," katanya.

Kata penyanyi yang cukup popular dengan lagu Kalis Rindu itu, dia juga berasakan perlu memberitahu umum memandangkan ramai yang membuat dakwaan dan menuduh dia sombong dan tidak lagi mahu menyanyi.

"Sebaik disahkan doktor saya menghidap kanser selepas melahirkan Cinta Sumayyah tujuh tahun lalu saya menghilangkan diri bagi membolehkan menjalani rawatan.

"Waktu itu memang saya tidak melayani sebarang permintaan peminat dan menolak tawaran yang datang. Disebabkan itu ada pihak sudah beranggapan saya sombong dan sudah berhenti menyanyi. Sedangkan perkara itu tidak berlaku," katanya.

Jelas Elyana sepanjang tempoh tujuh tahun itu, dia telah berusaha untuk menjalani rawatan di dalam dan luar negara.

"Bagaimanapun buat masa ini saya menghentikan rawatan di hospital buat sementara waktu dan mencuba rawatan alternatif," katanya.

Kata Elyana apabila ditanya dari mana dia memperoleh kekuatan sepanjang tujuh tahun berhadapan dengan penyakit kanser, jelasnya ia datang daripada Allah SWT.

"Kalau ikutkan saya tidak kuat," katanya yang turut meluahkan rasa lega apabila dapat berkongsi mengenai penyakit yang dideritai bersama keluarga, teman rapat dan peminat.

Sumber: MyMetro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com