Drama Asing Ibarat Mi Segera


DI setiap stesen TV kita sekarang mesti ada siaran drama dari luar. Drama Korea paling digilai remaja, selain drama India, Mexico, Filipina, Hong Kong dan yang paling diminati, sinetron Indonesia. Berjam-jam siarannya, diulang setiap hari, bermacam-macam cerita dan bentuk lakonan, cantik aktres serta kacak aktornya. Penonton kita pun meloponglah di depan kaca TV.

Apakah drama luar ini meninggalkan kesan baik pada kita? Tentu sekali ada. Kita dapat melihat keindahan negara dan budaya luar, seronok melihat dunia yang bukan dunia kita tanpa perlu keluar negara serta tentunya menarik kerana ia membawa sesuatu berlainan daripada apa yang sudah biasa kita tonton di skrin. Anak muda akan terikut-ikut gelagat pelakonnya, budaya fesyen dan tidak kurang juga budaya kehidupan mereka. Kita semua menjadi seronok untuk menonton drama mereka hingga yang tidak baiknya, langsung tidak kelihatan di mata.

Agaknya rating dan permintaan tinggi penonton, maka semua stesen berlumba-lumba menayangkan siri terbaru drama luar ini yang menampilkan serba-serbi baharu serta moden. Meskipun, ceritanya lari dari adab dan sopan budaya kita. Lakonan mereka yang nampak seperti bukan lakonan, pelukan dan ciuman 'real' serta panorama dipertontonkan, pastinya membuatkan penonton khayal untuk terus menonton episod demi episod sehingga beratus episod dan terus ketagih menonton. Perkara ini normal. Tidak ada salah pun. Semuanya untuk keseronokan dan hiburan semata-mata.

Anak muda terpengaruh

Kita dihidangkan dengan sesuatu yang memang kita minat dan amat harapkan. Minda dan jiwa kita terus disogok dengan kealpaan yang melampau hinggakan anak muda terpengaruh dan terpesona, sekali gus jatuh cinta dengan keghairahan dalam siri mereka. Apakah ini sebenarnya yang penonton kita mahu? Apakah hanya hiburan tanpa ada kesan sampingan ataupun kita langsung tidak kisah dengan isi yang mereka tampilkan?

Mungkin sedap seperti mi segera tetapi kesannya tidak baik untuk jangka masa panjang. Tetapi, kita tetap suka makan mi segera, samalah dengan drama ini. Apa pun yang diperkatakan ia tetap seronok dan sedap ditonton.

Slot drama tempatan semakin kurang

Namun, kesan negatif tetap ada, terutama kepada penghasilan drama kita sendiri. Jika slot sudah terlalu banyak diperuntukkan untuk drama luar, maka slot untuk drama tempatan semakin kurang. Kesannya, semakin kuranglah peluang pekerjaan kepada orang kreatif kita, kuranglah kerja pengarah, kuranglah kerja pelakon dan ramai kru menganggur kerana semakin kurang drama dihasilkan. Kalau ada pun hanya segelintir yang bekerja.

Apakah kemasukan drama ini harus kita kekang dan kita tahan atau kerajaan harus mengenakan kuota terhadap penyiaran drama dari luar ini, demi menyelamatkan industri drama tempatan, sekali gus mengurangkan pengangguran dalam kalangan insan kreatif ini? Cuba bayangkan apa akan jadi pada produk tempatan dan anak tempatan kita.

Tidak cukup dengan drama luar yang ditayangkan, ada pula yang ambil isi dan content daripada drama luar ini dan disesuaikan dengan budaya kita dan dijadikan puluhan dan ratusan siri ditayangkan. Penceritaan dan penyampaian tetap ada bunga-bunga dari luar, menarik memang menarik tapi kesannya amat dirasai penulis skrip.

Apabila sudah tiada keaslian dan sudah ambil cerita orang lain, hanya ditukar ke dalam bahasa kita, apa akan jadi pada penulis skrip? Mereka akan mencari ruang lain dan mencari punca pendapatan lain, maka hilanglah pencerita yang boleh memberi kita jiwa dan budaya bangsa kita sendiri. Semakin lama ia akan menjadi semakin lenyap dan terus lesap. Tiada lagi drama yang mengangkat kesopanan kita, tiada lagi budaya kampung kita. Hilang sudah Melayunya. Apabila remaja Melayu tidak lagi mencerminkan kemelayuan siapakah yang akan disalahkan?

Apa akan jadi pada jiwa dan minda kita, selain dari terikut-ikut. Adakah kita akan lupakan drama kita ataupun drama kita perlu bersaing dengan drama luar itu untuk mendapat tempat di hati masyarakat sendiri. Maka, lahirlah drama adaptasi daripada novel yang kebanyakan isinya hampir sama. Klise ceritanya tetapi amat menangkap jiwa penonton penonton remaja yang sambil menonton sambil tweet hinggakan drama itu menjadi trending. Stesen pun semakin galak mengangkat novel ke kaca TV kerana ada permintaan tinggi walaupun ada beberapa gagal. Yang berjaya satu atau dua drama itu berjaya memadamkan kegagalan itu. Drama adaptasi novel terus trending, paling diminati dan dinanti-nantikan, hilanglah keaslian dalam penghasilan cerita sesebuah siri drama. Soalnya adakah hanya ini yang hendak kita hidangkan? Cerita yang kurang substance dan isi cetek ini yang akan kita sogok pada minda kita berulang kali.

Perlu ada keseimbangan antara cerita fantasi dengan realiti, barulah masyarakat marhaen dapat membuat perbezaan. Barulah orang kita melihat drama ini hanya hiburan semata-mata dengan drama yang memberikan kesan mendalam kepada jiwa dan kehidupan mereka. Stesen harus mengangkat realiti kehidupan sebenar barulah tanggungjawab sosial kita terjaga dan masyarakat pun dapat mengekalkan nilai yang murni untuk terus dikekalkan pula kepada generasi akan datang.

Kita jangan hanya melihat setahun dua tetapi lihatlah 10 ke 20 tahun lagi apa kesan pada masyarakat. Televisyen adalah cerminan yang paling berpengaruh sekali di seluruh dunia. Oleh itu, gunakanlah TV untuk kebaikan dan bukan hanya untuk seronok seketika. Fikir-fikirkanlah.

Penulis adalah sutradara

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com