Doa Elyana Sembuh, Kongsi Petua Lawan Barah


KUALA LUMPUR - Pengakuan penyanyi, Elyana, sebagai penghidap penyakit kanser limfoma tahap empat sejak tujuh tahun lalu membuatkan ramai terkejut dan bersimpati.

Apatah lagi dalam pendedahannya pada sidang media selepas persembahan di Gegar Vaganza musim keempat (GV4), malam tadi, beliau turut meluahkan ketakutan tidak dapat melihat anaknya keesokan hari hingga enggan melelapkan mata.

Begitupun, Elyana atau nama penuhnya Erneelya Elyana Emrizal, 30, yang juga ibu kepada seorang cahaya mata, baru mencecah usia enam tahun ini sebenarnya dilihat tetap tabah berdepan ujian hidup.

Menerusi berita berhubung pendedahan penyanyi itu, BH Online yang berkongsi kisah perjuangan Elyana menerusi Facebook (FB) awal pagi semalam turut menerima pelbagai maklum balas daripada netizen.

Sejak berita berjudul 'Doktor pernah kata saya boleh hidup setahun lagi' dimuatnaik di FB BH Online kira-kira 11 jam lalu, ia sudah dikongsi 1,180 orang dengan lebih 28,000 'likes' selain 550 komen.

Rata-rata mendoakan kesejahteraan penyanyi Kalis Rindu itu dan memberikan kata-kata semangat supaya beliau terus kuat melawan penyakit dihidapinya itu.

Pada masa sama, tidak kurang mereka yang kagum melihat kekentalan jiwanya berdepan ujian berkenaan.

Antara yang meninggalkan komen juga ialah mereka yang pernah melalui pengalaman bertarung kanser. Selain berkongsi rasa, ada di antara mereka mengusulkan kaedah rawatan bersesuaian.

Malah, ada peminat dikenali sebagai Nor Hayati Shariff mengajak orang ramai memberi sokongan terhadapnya dengan makan di kedai penyanyi itu di Alam Budiman U10.

"Anak memang suka sebab kedai Elyana sedap. Sederet dengan 7-Eleven dan dibuka waktu petang. Warga Nusa Rhu, Cahaya SPK, Sunway Kayangan, Sunway Suria, Bukit Jelutong, Puncak Perdana, Puncak Alam dan Meru jom singgah Kedai Makan," katanya.

Seorang peminat lain, Siti Zubaidah yang juga seorang pesakit yang sudah bebas kanser, meminta penyanyi terbabit terus kuat semangat berjuang melawan penyakit itu.

"Jangan sedih. Kuatkan semangat. Kakak dulu pun kanser limforma tahap empat. Kita diuji menunjukkan Allah sayang kita. Kakak dulu jalani rawatan kemoterapi sebanyak 13 kali. Alhamdulillah sekarang kakak sihat," katanya.

Zulkifly Muhammad pula berharap Elyana terus tabah menghadapi ujian Allah, malah yakin setiap penyakit ada penawarnya asalkan terus berusaha dan mencari pertolongan-Nya.

Sumber: BH Online


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com