Denggi Penyakit Berjangkit Tertinggi Sejak 2015


KUALA LUMPUR  - Penyakit denggi mencatatkan jumlah penyakit berjangkit tertinggi di negara ini sejak 2015, iaitu sebanyak 71,641 kes hingga September ini, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Hilmi Yahya.

Katanya, ini diikuti dengan penyakit kaki tangan dan mulut (HFMD) (26,030 kes), tuberkulosis (19,430 kes), keracunan makanan (11,281 kes) dan demam campak(6,646 kes).

"Penularan penyakit berjangkit daripada seseorang individu kepada individu yang lain boleh melalui pelbagai CARA contohnya bagi penyakit denggi melalui gigitan nyamuk aedes; HFMD (kontak dengan individu yang dijangkiti HFMD).

Diikuti dengan keracunan makanan yang disebabkan oleh makanan yang tercemar, dan demam campak (pernafasan dan udara yang tercemar)," katanya ketika menjawab soalan Dr. Mansor Abdul Rahman (BN-Sik) dalam sesi soal jawab pada persidangan Dewan Rakyat, semalam.

Mengulas isu tersebut, Dr. Hilmi berkata, semua pekerja asing yang bekerja secara sah di negara ini diwajibkan menjalani tiga pemeriksaan perubatan iaitu dalam tempoh satu bulan tiba, sebelum tahun akhir pertama dan sebelum akhir tahun kedua berada di negara ini.

Katanya, bagi memperkukuhkan pemeriksaan perubatan pekerja asing, kerajaan telah bersetuju dan meluluskan pemeriksaan perubatan tersebut dilaksanakan setiap dua tahun selepas tiga pemeriksaan perubatan wajib mulai Januari depan. - BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com