‘Dah Dua Kali Sawah Tenggelam Akibat Banjir’ - Pesawah Kedah


ALOR SETAR - Sudah dua kali pesawah di Mukim Malau, Jitra mengalami nasib sama yakni sawah mereka ditenggelami air tatkala hujan lebat melanda.

Semuanya berpunca dari tebing saliran Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) yang rendah 

Dalam kejadian banjir dua minggu lalu, kira-kira 30 pesawah berdepan kerugian apabila tanaman mereka rosak teruk.

Pesawah, Zainol Abidin Haron, 53, berkata, dia kerugian kira-kira hampir RM3,000 apabila sawahnya yang berkeluasan hampir satu hektar ditenggelami air.

“Mungkin sebab sawah saya dekat dengan saliran, jadi air melimpah masuk bila hujan lebat.

“Selalunya bila kawasan Changlun banjir, air dari sana akan turun mai di kawasan kami,” katanya.

Menurutnya, walaupun sudah biasa berhadapan dengan bencana banjir sejak puluhan tahun lalu, namun perasaan risau tetap tidak luput acap kali hujan lebat.

“Ada masa walaupun padi tenggelam dalam banjir, tapi padi tak rosak. Masih boleh teruskan kerja lagi.

“Tapi kalau banjir teruk macam baru-baru ni, memang padi akan rosak. Jadi, kami terpaksa buat semula,” katanya.

Tambahnya, hanya dalam tempoh masa kurang daripada sebulan, pesawah di kawasan tersebut terpaksa berdepan dua kali banjir.

“Kali pertama banjir 21 Oktober lalu dan terbaru 16 November. Mungkin kalau projek RTB (Rancangan Tebatan Banjir) dah siap nanti, kami tak kena banjir dah. Itu pun tak tau la makan masa berapa lama lagi,” katanya.

Namun begitu, sesetengah dari mereka sudah mendapatkan Borang Bancian Kerosakan Kerugian Akibat Bencana Alam dari Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Asun untuk menuntut pampasan.

Seorang lagi pesawah, Mohd Shahezan Halim, 34, berkata, dia baru sebulan menabur padi benih sebelum dilanda banjir yang pertama Oktober lalu.

“Baru sebulan tabur anak padi, dah naik pun 13 sentimeter. Tapi tiba-tiba banjir, lepas tu tabur lagi sekali, tengok kena pula kali kedua.

“Sekarang ni saya tak berani buat apa lagi sebab duk hujan. Hari ni pun hujan, risau juga mai banjir sekali lagi. Saya pula bendang sewa saja, nak bayar sewa tanah lagi. Yang banjir hari itu pun dah rugi RM3,000," katanya.

Sementara itu, tinjauan mendapati beberapa sawah di kawasan berkenaan ditenggelami air 100 peratus, selain terdapat juga ban yang runtuh. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com