Cermin Mata Monet Dijual RM211,000


HONG KONG - Koleksi barangan peribadi pelukis terkenal Perancis, Claude Monet, termasuk sepasang cermin mata berbingkai bulat, mencecah nilai hampir AS$11 juta (RM45 juta) di acara lelongan di Hong Kong, menurut Christie.

Cermin mata berkenaan yang diperbuat daripada logam berwarna keemasan berjaya dimiliki seorang pembeli dari Asia yang enggan dikenali, semalam dengan harga AS$51,457 (RM211,627). Ia jauh dari anggaran ditetapkan rumah lelong dengan nilaian AS$1,000 (RM4,113) sehingga AS$1,500 (RM6,169).

Turut disenaraikan untuk lelongan, termasuk barangan sukar ditemui seperti lakaran pensil, lukisan dan cetakan blok kayu Jepun yang menjadi sebahagian koleksi peribadi artis tersohor Perancis itu.

Sebuah arca kucing dari abad ke 19 dipercayai tinggalan zaman akhir Edo atau awal Meiji berukuran 32.8 sentimeter yang menyerupai bentuk haiwan itu sedang tidur, dijual pada harga AS$67,538 (RM277,764).

"Semua koleksi ini mempelawa peminat mendekati kehidupan Monet bukan saja sebagai artis tetapi hobinya sebagai pengumpul barang," kata pengerusi bersama jabatan Impresionis dan Seni Moden di Christie.

Senarai barang popular dijual dengan harga melebihi nilaian ditetapkan mereka.

Misalnya, sebuah lukisan minyak memaparkan motif tebing yang menghadap laut karya pelukis berkenaan bertajuk 'Falaises des Petites-Dalles' mencecah harga AS$4.6juta (RM19 juta).

Sementara, satu lagi lukisan landskap dinamakan 'Trois arbres a Giverny (Peupliers)' terjual dengan harga AS4juta (RM16.4juta). - AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com