Calon PAS Kedah Diwajib Bai'ah Pada PRU14


ALOR SETAR  - Lafaz bai'ah akan tetap diwajibkan ke atas semua calon PAS di negeri Kedah pada PRU14 kelak, kata Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Syeikh Fakhrurazi.

Menurut beliau, bai'ah adalah ikrar atas nama Allah SWT, sebab itu semua calon yang bakal mewakili PAS dalam pilihan raya, wajib melafazkan ikrar itu. 

"Ia wajib dilafazkan oleh mana-mana calon PAS," katanya lagi mengulas mengenai bai'ah yang dilafazkan Ahli Dewan Undangan Negeri PAS, Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah, tetapi keluar parti itu dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM). 

Ahmad Fakhruddin berkata, bai'ah itu adalah antara pemimpin itu (Amiruddin) dengan Allah.

Sementara itu, beliau yang dipetik daripada Antarapos berkata, PAS Kedah hanya akan mengetengahkan individu yang diyakini memberikan komitmen penuh kepada parti itu untuk diangkat sebagai calon pada pilihan raya ini.

Menurut beliau langkah itu dibuat susulan tindakan ADUN Anak Bukit yang mengisytiharkan untuk keluar parti dan menyertai PPBM baru-baru ini. 

Antara sebab Amiruddin yang juga bekas Ketua Pembangkang DUN Kedah mengumumkan keluar PAS  Ahad lalu kerana tidak setuju pendirian itu kerana tidak mahu bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).

Dalam pada itu beliau enggan mengulas mengenai kedudukan ADUN Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa sama ada akan dikekalkan sebagai calon PAS atau tidak pada PRU14.

"Itu kena tunggu sehingga hari penamaan calon, barulah tahu nama-nama itu," ujar Dr Ahmad Fakhruddin  lagi.

Mohd Nasir kini dilihat berjinak-jinak dengan PAN, PPBM dan DAP seperti juga Ahli Palimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar yang masih enggan menyatakan pendirian untuk meninggalkan PAS atau sebaliknya.

Bagaimanapun nama Mahfuz telah dikeluarkan daripada senarai calon PAS kerana tindakannya menyerang pucuk pimpinan parti itu kerana enggan bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Pakatan Harapan bagaimanapun belum dapat didaftarkan secara rasmi kerana PPBM belum memampu mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) sementara DAP pula belum lagi menghantar laporan hasil mesyuarat semula pemilihan Ahli Jawatankuasa Pusat (CEC) yang terbaharu. - Kedahnews.com



No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com