Cacilah Sebanyak Mana Diingini - Iqram Dinzly


KUALA LUMPUR - Pelakon, Iqram Dinzly, meluahkan rasa terkilan dengan netizen yang sering menghentam dirinya sejak akhir-akhir ini.

Menerusi perkongsian di Instagram, Iqram, 36, berkata beliau tidak pernah meminta simpati daripada mana-mana pihak, namun netizen masih mengkritik dirinya setiap kali memuat naik entri di laman sosial terbabit.

"Saya tahu, diri ini manusia yang banyak berdosa. Saya berusaha untuk tidak menyusahkan sesiapa, namun masih ada manusia yang bersangka tidak baik.

"Salahkah saya berseni sendiri? Seolah-olah saya meminta 'royalti' kepada mereka. Atau saya harus diam (daripada kritikan netizen)?" soalnya.

Beberapa hari lalu, Iqram dikecam gara-gara berkongsi gambar swafoto bersama arwah bapanya, Muhammad Saipuddin Ahmad Said, ketika lelaki itu terlantar sakit. Lebih-lebih lagi gambar berkenaan menunjukkan ada gula-gula di mulut bapanya.

Ramai yang menyifatkan perkongsian foto sedemikian tidak sopan dan tak sepatutnya dipaparkan bagi perkongsian umum.

Bapa artis lelaki berasal dari Ipoh, Perak, itu meninggal dunia pada 10 Oktober lalu.

Selain itu, Iqram juga dituduh tidak waras ekoran beberapa video pelik yang dimuat naik di laman sosialnya, selain keadaan fizikal pelakon berkenaan yang dilihat semakin tak terurus.

Iqram mengambil pendekatan untuk tidak mempedulikan segala kecaman diterimanya.

"Terima kasih kerana mengambil berat mengenai diri saya. Cacilah, caci sebanyak mana yang hendak dicaci.

"Saya hanya mampu berdoa dan akan berusaha untuk cuci, suci dan murni dengan segala yang terjadi. Itu antara saya dan Ilahi," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com