Blok Baharu Hospital Seberang Jaya RM500 Juta Siap 2019


PERMATANG PAUH  - Masalah kesesakan pesakit serta kekurangan katil yang meruncing di Hospital Seberang Jaya di sini dijangka selesai apabila blok ber­tingkat baharu bernilai hampir RM500 juta yang sedang dibina siap hujung 2019.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, ketika ini kerja-kerja pembinaan blok berkenaan baru bermula dan mencapai tahap 11 peratus.

Ujarnya, selepas siap kelak, blok baharu berkenaan akan menempatkan tambahan 316 katil serta akan turut menyediakan perkhidmatan Kardiologi dan Kardiotorasik serta bakal menjadi pusat rujukan untuk hospital-hospital di utara.

“Sebelum ini, ada pesakit terpaksa diletakkan di koridor kerana kekurangan ruang dan katil namun selepas projek ini, blok baharu juga akan menawarkan perkhidmatan klinikal baharu iaitu rehabilitasi untuk penduduk negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas melakukan tinjauan kerja pembinaan blok baharu hospital berkenaan di sini baru-baru ini.

Mengulas lanjut, Zainal Abidin berkata, kos keseluruhan untuk membina bangunan itu mence­cah RM368 juta manakala RM120 juta diperlukan untuk membeli peralatan.

“Blok bertingkat baharu ini dijangka dapat mula digunakan pada awal 2020 malah juga akan memberi manfaat kepada penduduk di sekitar Perak, Kedah dan Perlis,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, peruntukan berjumlah hampir RM500 juta juga akan diberikan untuk kerja-kerja menaik taraf beberapa kemudahan di Hospital Pulau Pinang (HPP).

“Selain itu, kerajaan bersetuju menyalurkan RM20 juta bagi membesarkan dewan bedah di Hospital Balik Pulau yang akan memberi impak besar terhadap aspek penjagaan kesihataan penduduk negeri ini,” katanya.

Pada masa sama, beliau menjelaskan tuduhan pembangkang kononnya negeri ini dianaktirikan tidak benar apabila peruntukan besar mencecah RM1 bi­lion yang disalurkan itu menjadi bukti keprihatinan Kerajaan Pusat.

“Mereka (pembangkang) boleh bercakap dan timbulkan pelbagai isu namun keutamaan kita (kerajaan) ialah melaksanakan projek-projek untuk kesejahteraan rak­yat,” katanya.

Sumber: Utusan Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com