Batas Kedah Gesa Persatuan Hotel Malaysia Mohon Maaf


ALOR SETAR - Badan Amal Tarbiah Sejagat Malaysia (Batas) Negeri Kedah menggesa Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Cheah Swee Hee, menyatakan permohonan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia kerana membangkitkan isu larangan wanita Islam bertudung dalam industri perhotelan.

Pengerusinya, Hafizam Harun berkata, tindakan MAH mempertahankan pengusaha hotel melarang wanita Islam bertudung bekerja di bahagian khidmat pelanggan sebagai sebahagian polisi antarabangsa, amat mendukacitakan dan menyedihkan ramai pihak.

“Isu ini menimbulkan kemarahan umat Islam, beliau wajar mohon maaf secara terbuka kepada umat Islam di negara ini kerana menimbulkan persepsi negatif terhadap wanita Islam, selain mengaibkan agama Islam,” katanya.

Menurutnya, pihaknya membantah sekeras-kerasnya tindakan itu sambil menyifatkan prosedur operasi standard (SOP) perhotelan antarabangsa sebagai tidak bertanggungjawab dan bersifat diskriminasi.

“Sebarang prinsip atau amalan pengurusan yang membezakan pekerja atau pengambilan pekerja atas dasar agama, bangsa atau warna kulit adalah suatu diskriminasi yang secara jelas menjatuhkan martabat wanita Islam,” katanya.

Sehubungan itu, pihaknya mendesak Kementerian Sumber Manusia agar tampil membela nasib pekerja beragama Islam daripada ditindas pihak lain dengan sewenang-wenangnya.

“Kami juga harap Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) mengambil tindakan sewajarnya terhadap pihak terbabit dalam isu ini,” katanya.

Tambah Hafizam, bagi memastikan pekerja Islam tidak terus ditindas kerajaan perlu bertegas terhadap pengusaha hotel yang melarang pekerja wanita di bahagian kaunter hotel bertudung. 

Selain meletakkan peraturan ketat kepada MAH agar tidak mempertahankan dasar ditetapkan pengusaha rangkaian hotel antarabangsa dalam negara ini.

“Kita tidak perlu mengikut polisi luar, ia harus disesuaikan dengan Malaysia yang lebih dikenali sebagai sebuah negara Islam. Malah bertepatan dengan perlembagaan negara di mana Islam adalah agama rasmi, bermaksud hak asasi wanita bertudung menepati prinsip Islam dan wajar ditegakkan dalam negara ini, tanpa kompromi dengan mana-mana pihak,” ujarnya lagi.

Hafizam turut membuat satu laporan polis berhubung isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda, kelmarin.

Sebelum ini, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz menegur MAH, yang tidak seharusnya mempertahankan dasar ditetapkan pengusaha rangkaian hotel antarabangsa dan meminta perkara termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan wajib dipatuhi rakyat Malaysia termasuk pihak luar.

MAH mempertahankan dasar itu selepas Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia mendedahkan ramai kakitangan hotel mengadu mengenai diskriminasi itu dengan diarahkan menanggalkan tudung mereka.

Malah Pengerusi MAH Cawangan Kedah dan Perlis, Eugene Dass pernah mengeluarkan kenyataan bahawa MAH tidak mempunyai sebarang kuasa bagi menentukan peraturan atau polisi agar diikuti hotel-hotel di negara ini, termasuk polisi pemakaian tudung bagi pekerja yang bertugas bahagian perkhidmatan pelanggan (frontline).

“Ia sebenarnya bergantung kepada polisi sesebuah syarikat atau hotel itu sendiri. Itu peraturan yang ditetapkan pihak mereka dan kami tak terlibat atau berkuasa menentukan," tegasnya. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com