Bantuan 1AZAM Bantu Penerima Tingkat Pendapatan


TASEK GELUGOR – Cekal dan sentiasa berusaha memajukan diri merupakan pegangan seorang ibu tunggal untuk terus menempuh hidup membesarkan anak-anak selepas kematian suami lima tahun lepas.

Nor Hasilah Abdul Hamid, 50, juga boleh menarik nafas lega apabila kira-kira setahun setelah kematian suami, beliau menerima bantuan daripada progam 1AZAM yang membolehkan ibu tunggal empat anak itu meluaskan rezekinya menjual kuih tradisional secara dalam talian.

“Selepas suami meninggal, saya bertekad menjalankan perniagaan menjual kuih tradisional sebagai sumber pendapatan utama, selain mengambil upah mengasuh.

“Kami orang susah, arwah suami hanya kerja kampung…jadi bila dapat bantuan peralatan membuat kuih dan peti sejuk, saya amat bersyukur,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya.

Nor Hasilah berkata bantuan mesin yang diperolehnya itu membolehkan beliau menambah sumber pendapatan dengan membuat dan menjual kuih kapit pada musim perayaan, selain menjual kuih talam dan koci setiap hari.

“Beban saya kini semakin berkurang dan hasil pendapatan juga meningkat sekali gus dapat menampung belanja empat anak yang masih belajar,” katanya yang kini memperoleh pendapatan bersih kira-kira RM2,000 sebulan.

Nor Hasilah mempunyai empat anak berusia 10 hingga 23 tahun dengan seorang daripadanya masih bersekolah, dua menuntut di institusi pengajian tinggi manakala seorang lagi ialah anak kurang upaya.

Sementara itu seorang lagi penerima bantuan 1AZAM, Saripah Salleh, 57, yang sebelum ini membawa van sekolah bersyukur kerana bantuan 1AZAM yang diperolehnya dapat meningkatkan pendapatan keluarga malah berjaya mengembangkan perniagaan yang diusahakannya.

“Saya mendapat bantuan sebuah peti sejuk beku dan pelbagai makanan (sejuk beku) bernilai kira-kira RM2,000 untuk memulakan perniagaan menjual ayam goreng, nuget, kentang goreng, sosej dan pelbagai lagi makanan sejuk beku yang telah digoreng.

“Pada mulanya saya jual setiap bungkusan yang mengandungi campuran ayam goreng, nuget dan sosej dengan harga RM1 dalam van sekolah yang saya bawa kerana ketika itu tiada tempat untuk berniaga,” katanya.

Katanya selepas enam bulan berniaga beliau berjaya mendapat keuntungan dan membolehkannya membuka gerai di hadapan rumah untuk menjual makanan sejuk beku yang digoreng itu pada waktu petang.

Saripah yang mempunyai empat anak berusia 16 hingga 26 tahun itu berkata beliau dibantu suaminya Jaafar Jusuh, 66, untuk menguruskan gerai mereka ketika waktu petang.

“Dalam pukul 10 pagi saya akan mula goreng makanan sejuk beku yang akan dijual sambil dibantu suami membungkusnya untuk dibawa dalam van sekolah, sebelah petang pula kami berniaga di gerai.

Alhamdulilah sehari boleh dapat sehingga RM100. Memang bantuan itu meningkatkan kehidupan keluarga kami,” katanya yang mengucapkan terima kasih kepada kerajaan persekutuan. – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com