Asal Usul Dan Mitos Kewujudan Baling


Baling ialah sebuah daerah yang terletak dalam Negeri Kedah, Malaysia dan bersempadan dengan daerah Kulim di sebelah selatan, daerah Kuala Muda di sebelah barat, daerah Sik di utara, Negeri Perak di sebelah tenggara dan Negara Thailand di sebelah timur laut. 

Daerah Baling mempunyai keluasan sebanyak 1530 kilometer persegi atau 590.32 batu persegi dan merupakan merupakan daerah yang kedua terbesar di Negeri Kedah.

Terdapat dua teori mengenai asal usul nama Baling iaitu teori pertama adalah nama Baling dipercayai berasal daripada peristiwa Raja Bersiong seperti yang tercatat dalam Hikayat Merong Mahawangsa. 

Raja Ong Maha Perita Deria atau lebih dikenali sebagai Raja Bersiung, merupakan raja keempat daripada keturunan Merong Maha Wangsa yang gemar memakan sayur bayam dengan kuah darah manusia. 

Dikatakan, kelakuan baginda ini dibenci oleh rakyat dan menyebabkan baginda melarikan diri dari istananya yang berpusat di Lembah Bujang. 

Ketika dalam kepungan menteri dan rakyat, baginda terpaksa berhenti beberapa kali kerana menderita sakit gigi siongnya. 


Baginda dikatakan telah memulas keluar kedua-dua siongnya di suatu tempat dan membaling gigi siongnya jauh ke tempat yang kini dikenali sebagai Baling. 

Manakala dalam cerita lain, nama Baling dikaitkan dengan orang Siam (Thai) dan orang Burma (Myanmar) yang datang ke daerah itu kira-kira 200 tahun dahulu yang ingin memulakan hidup baru.

Setelah merentasi pelbagai jenis rintangan mereka sampai ke Baling dan membuat keputusan untuk membuka kawasan hutan di situ dengan melakukan gotong-royong menebang hutan serta belukar untuk memulakan penempatan baru. 

Bahkan, mereka turut bercucuk tanam, berniaga dan membawa sampan penambang untuk menyara hidup. 

Ada juga di kalangan mereka yang mencari kayu di hutan dengan menggunakan gajah.

Sungai Ketil yang pada masa itu dalam dan luas, menjadi alat perhubungan utama penduduk tempatan dan kaya dengan ikan.

Sampan-sampan dari Kota Kuala Muda yang sarat dengan barang-barang dagang banyak yang berlabuh di tempat itu. 

Pangkalan di kawasan penempatan baru itu juga dijadikan tempat memunggah candu mentah yang dibawa dari Burma untuk dijual di Kota Kuala Muda.

Bagi penduduk yang bertani, tanaman mereka sangat berhasil dan sangat bersyukur dengan hasil sayur-sayuran dan buah-buahan yang begitu menjadi. 


Akan tetapi, kegembiraan mereka tidak kekal lama kerana buah-buahan mereka seperti langsat, rambutan dan durian diserang  dan dimusnahkan oleh beribu-ribu kera yang dikatakan datang dari hutan Gunung Baling. 

Setelah habis musim buah-buahan, binatang-binatang itu balik ke hutan Gunung Baling. Oleh sebab kaum pendatang itu tidak pernah melihat kera yang begitu banyak mereka menamakan kampung mereka “Ban-Lin” yang bererti “kera”. 

Lama-kelamaan perkataan Ban-Lin bertukar menjadi “Baling”. 

Sebenarnya teori tersebut adalah cerita lisan yang diwarisi masyarakat di beberapa daerah tertentu di Kedah. 

Seterusnya, kisah ini diceritakan turun temurun sejak dulu lagi hinggalah ke beberapa generasi terutamanya di dalam daerah Baling ini sendiri namun kesahihan cerita itu tidak dapat dikenalpasti sehingga kini. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com