April Masa Tepat Pilihan Raya Umum: Penganalisis


SHAH ALAM - PRU14 yang dibayangkan bakal berlangsung di antara tempoh selepas sambutan Tahun Baharu Cina sehingga April adalah masa yang tepat.

Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Sivamurugan Pandian berkata, tempoh itu dilihat sebagai masa yang sesuai memandangkan tarikh luput mandat kerajaan Persekutuan adalah pada 24 Jun dan pilihan raya perlu diadakan dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran Dewan Rakyat.

“Saya jangkakan PRU14 akan dijalankan pada April memandangkan pada Mei merupakan tempoh terlalu dekat dengan permulaan puasa diikuti sambutan Hari Raya Aidilfitri pada Jun.

“Saya setuju dan yakin PRU14 akan diadakan dalam tempoh ini apatah lagi isu persempadanan PRU juga telah diselesaikan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Sivamurugan berkata, bayangan PRU14 diadakan pada April menjadi lebih kuat apabila pada masa itu genaplah sembilan tahun pentadbiran di bawah Datuk Seri Najib sebagai perdana menteri.

“Saya rasa ia lebih berkemungkinan pada April kerana ini akan membolehkan Najib memberikan kad laporan penuh kejayaannya sebagai perdana menteri termasuklah pencapaian Bajet 2018,” katanya.

Pada masa sama, beliau percaya bahawa, pencapaian Bajet 2018 dan penyelesaian kepada isu kos sara hidup terutamanya harga minyak akan menjadi penilaian utama buat rakyat dalam berhadapan PRU14.

“Dari tempoh masa sekarang sehingga April depan, yang akan dilihat adalah sejauh mana pencapaian Bajet 2018  

“Saya yakin perkara-perkara ini akan menjadi keutamaan buat rakyat membuat penilaian sepanjang empat bulan akan datang,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com