Amiruddin, Mahfuz Diingatkan Bai'ah Tiada "Expired Date"


ALOR SETAR - Adun Anak Bukit, Dato' Amiruddin Hamzah yang memilih untuk keluar PAS dan menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) diberi amaran supaya tidak lupa pada bai'ah yang diikrarkan ketika terpilih sebagai calon pada Pilihan Raya Umum (PRU) yang lalu.

AJK PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim berkata, bai'ah yang dimaksudkan itu adalah merujuk kepada bai'ah yang diucap ketika dipilih PAS sebagai calon mewakili parti itu.

"Cuma sedikit ingatan sahabatku yang dikasihi, antara kita sama-sama melafazkan bai'ah ketika memikul amanah parti menjadi calon dalam PRU," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik dari laman media rasmi PAS, Harakahdaily.


Dr Azman dalam kenyataannya turut menyentuh tentang Ahli Parlimen Pokok Sena, Dato' Mahfuz Omar yang dijangka bakal mengikut jejak langkah Amiruddin.

Tegas beliau, bai'ah yang diikrarkan sebelum ini merupakan satu tanggungjawab besar yang perlu digalas supaya tidak mengkhianati perjuangan parti dan tidak mempunyai "tarikh tamat tempoh" (expired date).

"Seorang (Amiruddin) dah pergi, seorang (Mahfuz) lagi nampaknya bakal dilupakan orang dengan sendirinya. Kepada mereka berdua juga saya ucapkan selamat berjaya.

"Jangan lupa, kita bertiga sebagai bekas calon PRU, pernah melafazkan bai'ah dengan nama Allah untuk tidak khianat kepada perjuangan ini.

"Bai'ah tempoh sahnya sampai akhir hayat. Tidak ada tarikh expired," katanya lagi. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com