Amiruddin Langgar Bai'ah, Sertai Parti Bermasalah - Dr. Kamarul Zaman


Pensyarah kanan Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Kamarul Zaman Yusoff menyifatkan tindakan ADUN Anak Bukit, Datuk Amiruddin Hamzah meninggalkan PAS sebagai paling berani.

Paling tidak Amiruddin berani melanggar bai'ah yang dibuatnya dengan PAS.

Kata Dr. Kamarul, keberanian beliau menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) kerana parti itu sedang menghadapi masalah, kemungkinan tidak dapat menyertai PRU14.

"Selain pemimpin dan ahli keluar parti, PPBM juga diberitakan gagal menguruskan parti dengan baik sehingga gagal mengadakan AGM.

"Pelik juga bila difikirkan di saat ramai pemimpin dan ahli PPBM keluar parti, ianya pula menjadi pilihan Datuk Amiruddin, " kata Dr. Kamarul dalam Facebook miliknya semalam.

Dr. Kamarul yang juga Pengarah Pusat Pengajian Politik Malaysia (MAPAN) UUM menjelaskan  sebelum ini ramai berada dalam PAS menjangkakan amiruddin akan menyertai Parti Amanah Negara (PAN).

Ini kerana PAS adalah sebuah parti yang meletakkan Islam sebagai dasar perjuangannya, begitu juga dengan PAN di mana matlamatnya untuk mendirikan sebuah negara dan masyarakat madani dengan Islam sebagai rahmat untuk semua, kata Dr. Kamarul.

Katabeliau lagi, apabila  Amiruddin memilih untuk menyertai PPBM, para pemimpin PAN perlulah merenung di mana salah dan silapnya gerak kerja mereka.

"Memanglah memalukan bila PAN tidak menjadi pilihan Datuk Amiruddin sedangkan pemimpin seperti Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Zawawi sendiri pernah memberikan bayangan beliau akan menyertai PAN, " katanya.

Bagaimanapun kata Dr. Kamarul lagi, penyertaan Amiruddin ke dalam PPBM mungkin juga boleh dikaitkan dengan latar belakang dan pemikiran politik beliau sendiri.

Menurut beliau, ada yang berspekulasi mengenai hubungan peribadi beliau yang baik dengan Timbalan Presiden PPBM merangkap Pengerusi Pakatan Harpan Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Di samping itu wujud spekulasi mengenai penglibatan beliau di dalam JIM sebelum ini di mana kononnya menjadi agenda JIM untuk cuba menguasai semua parti, kata beliau lagi.

Di segi logik, kata Dr. Kamarul, tindakan Amiruddin menyertai PPBM adalah suatu tindakan yang cukup pragmatik dalam konteks Kedah.

Ini kerana parti yang diberi peranan untuk menerajui Kedah dalam PRU 14 oleh Pakatan Harapan bukanlah PAN , mahupun PKR, tetapi adalah PPBM, kata Dr. Kamarul.

Menurt beliau, sekiranya  jawatan dalam kerajaan negeri atau keupayaan mempengaruhi dasar kerajaan negeri yang menjadi pertimbangan, sudah tentulah PPBM akan menjadi pilihan.

Bagaimanapun, bacaan bahawa Pakatan Harapan mampu mengambil-alih pentadbiran Kedah dari Barisan Nasional bukanlah satu perkara yang pasti kerana apa saja boleh terjadi.

Kata Dr. Kamarul, apa yang pasti dan jelas terbukti kini ialah Amiruddin merupakan seorang pemimpin yang berani, paling tidak  berani melanggar bai'ah yang dibuatnya dengan PAS! - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com