Aktiviti 'Igat Ike' Bermula Di Musim Tengkujuh


PASIR MAS - Musim tengkujuh memberi rezeki buat beberapa penduduk apabila mereka melakukan aktiviti menangkap ikan darat yang sukar diperoleh pada musim lain.

Tinjauan BH di Kampung Apa-Apa dan Kampung Pangkal Kala, di sini, mendapati ramai penduduk memasang pukat di kawasan bendang berhampiran kawasan rumah mereka, seawal jam 6 pagi, semata-mata untuk 'igat ike' (menangkap ikan).

Seorang penduduk, Mohd Nasir Mohd Nor, 40 dari Kampung Pangkal Kala, di sini berkata dia sekeluarga memanfaatkan musim tengkujuh ini dengan aktiviti menangkap ikan darat yang susah diperoleh pada musim lain.

"Bagi saya bila musim tengkujuh ini menjadi keseronokan pula kerana kami sekeluarga boleh memanfaatkan masa bersama dengan melakukan aktiviti menangkap ikan.

"Dalam masa sama, hasil yang diperoleh sukar untuk dapat pada bulan lain, kalau ada jual di pasar pun harganya tinggi.

"Jadi pada musim tengkujuh tahun ini saya tidak melepaskan peluang dan Alhamdulillah hasil yang diperoleh banyak seperti ikan puyu, haruan, sepat dan belut," katanya ketika ditemui di sini, semalam.


Namun, berbeza bagi seorang penjual yang mahu dikenali sebagai Yusof, 60 berkata dia memanfaatkan hasil tangkapannya untuk dijual.

"Saya memang tangkap ikan untuk dijual dan aktiviti ini sudah menjadi sumber rezeki saya sejak berumur belasan tahun dahulu lagi," katanya yang memaklumkan hasil pendapatan melalui menjual ikan sebanyak RM30 hingga RM50 sehari.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com