Adun PAS Puji Kematangan Kerajaan BN Negeri Kedah


ALOR SETAR - Adun Sungai Limau, Mohd Azam Samad memuji pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) Negeri Kedah pimpinan Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah kerana istiqamah melaksanakan pelbagai dasar yang diperkenalkan Kerajaan PAS sebelum ini. 

Kata beliau, corak pentadbiran yang baik itu menjelaskan kematangan parti yang memerintah kerajaan di negeri ini. 

"Alhamdulillah, banyak juga dasar-dasar dan bantuan untuk kebajikan serta kebajikan rakyat yang diperkenalkan kerajaan PAS sebelum ini diteruskan oleh pentadbiran sekarang. 

"Itulah bukti kematangan dalam Kerajaan Negeri," katanya ketika membahaskan Bajet Kedah 2018 yang dibentang Ahmad Bashah pada Ahad lalu. 

Namun begitu, Mohd Azam memohon Kerajaan Negeri agar mempertimbangkan beberapa lagi dasar lain yang diperkenal kerajaan PAS Kedah sebelum ini supaya diteruskan. 

PAS pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 berjaya merampas pentadbiran Kerajaan Negeri dari BN dan sempat mentadbir selama sepenggal di bawah bekas Menteri Besar, Allahyarham Tan Sri Azizan Razak. 

Namun begitu, kemelut dalaman berlaku di dalam PAS Kedah dan Kerajaan Negeri menjelang PRU ke-13 yang lalu telah memburukkan keadaan dan mencetus kontroversi mengecewakan rakyat Kedah. 

Ahmad Bashah yang mengetuai BN Kedah ketika itu kemudian berjaya menyatukan UMNO dan BN untuk merampas kembali tampuk pentadbiran Kerajaan Negeri pada PRU ke-13.

Meskipun begitu, kejayaan Ahmad Bashah itu dikatakan telah "dirampas" oleh bekas Timbalannya, Dato' Seri Mukhriz Mahathir, biarpun beliau hanya pulang ke negeri ini kira-kira empat bulan sebelum PRU. 

Ekoran kegagalan Mukhriz mentadbir Kerajaan Negeri secara "solo" berbanding arwah Ustaz Azizan dan kegagalannya menguasai politik kepartian telah menyebabkan majoriti Adun hilang kepercayaan padanya, memaksa beliau meletak jawatan sebagai Menteri Besar. 

Meskipun begitu, Mukhriz dikatakan enggan menerima kegagalan dirinya itu dan meletakkan kesalahan tersebut kepada Ahmad Bashah selain berjaya mencetus rasa benci segelintir pihak terhadap penggantinya itu.- Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com