Ada Negeri Tolak Simulasi Banjir


KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat mendedahkan ada negeri enggan bekerjasama menjayakan program simulasi banjir yang diadakan setiap tahun.

Tanpa menyatakan negeri berkenaan, Menterinya, Datuk Seri Rohani Abdul Karim, berkata program simulasi penting dalam memastikan jentera dan agensi berkaitan sentiasa berada dalam keadaan siap siaga.

"Kementerian diarah mengadakan simulasi banjir setiap tahun di semua negeri. Saya harap apabila simulasi banjir diadakan, semua negeri memberi kerjasama.

"Apabila berlaku banjir, ada pihak tiba-tiba menuding jari menyalahkan agensi kerajaan sedangkan simulasi penting untuk kita sentiasa bersedia.

"Bila kita temui (pentadbiran) beberapa negeri, ia tidak mengadakan simulasi banjir seperti dikehendaki," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2018 peringkat jawatankuasa bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, di sini, Isnin.

Rohani turut mendedahkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berdepan masalah dengan pasukan keselamatan dalam menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di pusat pemindahan.

"Kami kena marah sedangkan kami nak beri makanan (kepada mangsa banjir). Kami dimarah oleh askar, askar tanya sama ada nak bawa makanan atau selamatkan nyawa mangsa banjir terlebih dulu.

"Saya dapat rasakan keadaan ini sebab kita mahukan yang terbaik untuk mangsa banjir," katanya.

Dalam perkembangan lain, Rohani meminta syarikat korporat tampil melaksanakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi mempercepatkan penubuhan Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE) di setiap kawasan Parlimen.

Sehingga kini, katanya, ada 59 PAWE di seluruh negara dan untuk tahun depan, sejumlah RM3 juta disalurkan untuk membangunkan 26 PAWE.

"Insya-Allah kementerian akan sentiasa mencari jalan termasuk menerusi peruntukan bajet atau daripada program CSR syarikat korporat dalam usaha memastikan 222 PAWE diwujudkan dengan segera," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com