26 Hotel Mewah Larang Kakitangan Bertudung


KUALA LUMPUR - Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC) mengenal pasti 20 HOTEL LIMA dan enam bintang di ibu negara melarang pemakaian tudung terhadap wanita yang bekerja di bahagian hadapan khidmat pelanggannya.

Presiden UNI-MLC, Datuk Mohamed Shafie Mammal, berkata pihaknya berharap Kementerian Sumber Manusia mengambil tindakan tegas terhadap hotel itu supaya tidak lagi wujud sebarang penindasan atau paksaan bagi melindungi maruah pekerja wanita Islam di negara ini.

"Kami akan menyerahkan senarai hotel berkenaan dalam satu mesyuarat bersama Jabatan Sumber Manusia, Rabu ini untuk tindakan selanjutnya.

"Selepas ini pihak hotel diharap tidak akan berdolak-dalik lagi mengenai perkara itu sebaliknya mereka perlu berinteraksi dan bersikap jujur bagi membantu mencari penyelesaian terhadap kemelut yang berlaku," katanya kepada media di sini, semalam.

UNI-MLC sebelum ini mendedahkan aduan diterima daripada kakitangan hotel mengenai wujudnya diskriminasi terhadap pekerja wanita Islam yang diarahkan menanggalkan tudung.

Shafie berkata, aduan yang diterima bukan hanya membabitkan pekerja di bahagian hadapan tetapi turut membabitkan pekerja di bahagian lain.

"Ini satu tindakan yang menjejaskan moral mereka kerana hanya disebabkan mahu menjaga periuk nasi mereka terpaksa membuka tudung selain mengaibkan diri sendiri dan keluarga.

"Kalau hotel mempertahankan prosedur operasi standard (SOP) mereka dalam pemakaian seragam ia mungkin agak ketinggalan zaman dan perlu diperbaiki supaya pekerja wanita diberikan kebebasan mengikut Perlembagaan Persekutuan.

"Pekerja sepatutnya diberikan pilihan bukan memaksa yang bertudung membuka tudung mereka," katanya.

Shafie berkata, pihaknya turut berharap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak akan campur tangan dalam perkara ini untuk memastikan kemelut yang berlaku ditangani secara adil dan saksama.

"Kita bukan mahu mencari kesalahan tetapi cuba mencari penyelesaian terbaik kerana mahukan situasi menang-menang untuk semua pihak," katanya.

Sumber: BH Online

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com