'18 Tahun Saya Jadi Tunggul Dalam Kristal' - Lan


KUALA LUMPUR - Vokalis kumpulan Kristal, Lan mengundurkan diri dari kumpulan tersebut selepas 18 tahun bersama.

Lan atau nama sebenarnya, Razlan Mohamed Yusof membuat keputusan tersebut kerana sudah tawar hati dan kecewa dengan tindakan kumpulan tersebut yang banyak membelakanginya. 

"Apabila saya menyuarakan perancangan projek solo, saya dipersalahkan dan dituduh tunggul. Selama ini, apa yang mereka buat di belakang saya, tanpa berbincang dengan saya, saya hanya diamkan diri sahaja.

"Sudah 18 tahun saya menjadi tunggul dalam Kristal. Projek solo itu bukanlah bermakna saya mahu meninggalkan Kristal, malah ada juga anggota lain yang turut buat projek solo. Ini adalah projek sampingan bagi menampung saya dan keluarga, tetapi masih bersama Kristal.

"Apabila mereka menyuarakan untuk merehatkan saya, maka saya akan berehat dan tidak ada lagi perbincangan selepas ini. Saya amat berkecil hati dan tawar hati dengan tindakan mereka," katanya ketika ditemui selepas konsert minggu kelima GV4 malam tadi.

Bagaimanapun, menurut Lan, dia tidak menyimpan dendam dengan anggota kumpulan Kristal lain dan mendoakan yang terbaik buat kerjaya mereka selepas ini. 

"Tiada dendam kerana saya anggap mereka seperti adik-beradik sendiri. Mereka ingin merehatkan saya, saya pun ingin berehat. Saya doakan yang terbaik buat mereka." jelas Lan. 

Minggu lalu, kumpulan Kristal yang dianggotai Rody (gitar utama), Gg (gitar kedua), Kechiq (bass)dan Acap (dram) mengumumkan khidmat Lan sebagai penyanyi akan direhatkan dan mereka sedang mencari vokalis lain. 

Menerusi laman Instagram rasmi @kristalband dan gitaris mereka, Rody Kristal, kumpulan itu memberitahu memandangkan Lan juga pernah meluahkan hasrat untuk berehat daripada Kristal.

Sumber: Kosmo

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com