157 Mangsa Banjir Kilat Di Changlun Dipindahkan


ALOR SETAR – Hujan lebat berterusan sejak petang semalam memaksa seramai 127 penduduk daripada 49 keluarga di sekitar Changlun dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Kubang Pasu Kamarulzaman Kasa berkata PPS itu dibuka pada 3 pagi tadi setelah beberapa kawasan rendah di beberapa kampung mula dinaiki air.

“Hujan lebat selama beberapa jam menyebabkan air Sungai Temin mula melimpah sehingga lebih kurang 50 rumah antaranya di Kampung Belukar dinaiki air,” katanya ketika dihubungi Bernama, di sini hari ini.

Katanya sejurus menerima laporan, APM menggerakkan 30 anggotanya bagi membantu memindahkan mangsa banjir ke pusat pemindahan secara berperingkat.

Turut terlibat dalam operasi tersebut ialah Jabatan Kebajikan Masyarakat, anggota polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia dan Pasukan Tindakan Awal Kecemasan Komuniti (CDERT-C). – BERNAMA

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com