15,000 Hektar Sawah Luar Perairan Muda Disyor Ditadbir Oleh MADA


ALOR SETAR  - Ahli Dewan Undangan Jeneri, Mahadzir Abdul Hamid mencadangkan kerajaan agar seluruh 15,000 hektar sawah di luar perairan Muda ditadbir urus oleh Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA).

Katanya, pesawah di luar kawasan MADA juga seharusnya menerima   manfaat yang sama seperti juga pesawah di dalam kawasan perairan Muda.

" Saya berharap kerajaan tidak mengambil masa yang terlalu lama untuk menimbangkan perkara ini, "katanya ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Baget 2018 negeri di sidang Dewan Undangan Negeri, hari ini.  

Sementara itu, Mahadzir juga mencadangkan agar bantuan kepada mangsa banjir diselaraskan agar penduduk yag tidak tinggal di pusat pemindahan banjir juga mendapat manfaat yang sama. 

Katanya, ada di antara mangsa banjir yang tidak berpindah ke pusat pemindahan juga mengalami kerugian yang lebih besar.

"Selain mangsa  banjir, mangsa ribut juga harus diberi bantuan yang sama sama, " kata Mahadzir lagi.

"Bagaimanapun saya berterima kasih kepada kerajaan yang menaikkan bantuan kepada mangsa banjir daripada RM100 kepada RM200," kata Mahadzir.

Sementara itu, ADUN Kupang, Datuk Harun Aziz ketika membahaskan Bajet 2018 memohon  kerajaan menaik taraf padang dan stadium mini di setiap daerah.

Katanya, kemudahan padang dan stadium sukan di daerah itu akan dimanfaat oleh anak-anak muda dan mampu melahirkan ahli sukan di peringkat negeri. - Kedahnews.com
  

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com