14 Usahawan Kedah Bakal "Tawan" Pasaran Singapura


ALOR SETAR - Seramai 14 usahawan Kedah bakal menembusi pasaran Singapura tidak lama lagi apabila diberi peluang untuk mempromosikan produk-produk keluaran tempatan ke rakyat di negara republik itu.

Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, program seperti ini dapat membantu ramai usahawan anak Kedah untuk menembusi pasaran yang lebih luas dan memajukan perniagaan masing-masing ke peringkat yang lebih jauh.

"Kita yakin melalui promosi buat pertama kali di Singapura melalui program ini akan memberi ruang kepada usahawan-usahawan IKS di negeri Kedah memasarkan produk masing-masing ke peringkat yang lebih jauh lagi," katanya kepada Kedahnews.com, di sini hari ini.


Ahmad Bashah berkata demikian ketika menyempurnakan majlis pelepasan "Flagoff" produk AIT Negeri Kedah ke Pasaran Singapura,bersempena program Kedah Month di Pasaran Agrobazaar Malaysia - Singapura, di Wisma Darul Aman di sini, tengahari tadi.

Program anjuran FAMA dengan kerjasama Kerajaan Negeri itu bakal berlangsung selama sebulan bermula 23 November ini hingga 23 Disember depan bertempat di Pasaraya Big Box dan Singapura Expo, Changi.

Salah seorang usahawan Kedah, Dato' Zubir Zabidi yang menyertai program berkenaan mengucapkan terima kasih kepada sokongan Kerajaan Negeri dan FAMA atas peluang yang diberikan untuk menerokai pasaran di negara luar.


Beliau yang telah puluhan tahun berkecimpung di dalam dunia keusahawanan IKS di negeri ini turut memberikan tips kepada usahawan-usahawan baru supaya berusaha gigih melebarkan jaringan perniagaan selain m

"Dari segi agensi dan kemudahan yang disediakan kerajaan itu sebenarnya banyak. Ia cuma terpulang kepada usahawan-usahawan kita menerokai peluang-peluang yang ada.

"Dan begitu juga dengan pemasaran, banyak yang disediakan oleh pelbagai agensi dan kerajaan. Jadi, terpulanglah bagaimana untuk kita gunakan peluang-peluang tersebut.

"Kita perlu perbanyakkan networking kita selain hubungan baik dengan pelbagai pihak termasuk agensi-agensi usahawan, pemasaran dan sebagainya," kata beliau.

Sementara itu, Exco Kerajaan Negeri, Datuk Suraya Yaacob berkata, program ini merupakan usaha berterusan pihak Kerajaan Negeri dan agensi-agensi Kerajaan untuk membantu usahawan di negeri ini memasarkan produk masing-masing.


Jelas beliau, agensi-agensi kerajaan sebelum ini melalui Kerajaan Negeri telah berjaya membantu ramai usahawan anak Kedah dari pelbagai aspek sehingga ada yang berjaya menembusi pasaran antarabangsa seperti Jepun dan sebagainya.

"Ini adalah usaha berterusan Kerajaan melalui agensi iaitu FAMA untuk membantu usahawan-usahawan kita untuk memasarkan produk-produk kita anak tempatan ke pasaran yang lebih luas.

Saya berterima kasih kepada Menteri Besar, Dato' Seri Ahmad Bashah Md Hanipah atas sokongan beliau dan kepada FAMA yang terus membuka ruang kepada anak-anak Kedah, khususnya dari sudut pemasaran," ujar beliau.

Selain Ahmad Bashah dan Suraya, turut hadir di majlis berkenaan adalah Exco Kerajaan Negeri, Dato' Norsabrina Mohd Noor, Ahli-Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Pengarah FAMA Negeri Kedah, Anuar Ahmad. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com