10 Mayat Reput, Dua Bot Terdampar Ditemui Di Pantai Jepun


TOKYO - Kira-kira 10 mayat reput dan dua bot ditemui di pantai Jepun dipercayai berasal dari Korea Utara, kata pihak berkuasa Isnin.

Penemuan itu hanya beberapa hari selepas lapan nelayan juga dari Korea Utara terdampar di pantai sama.

Menurut polis, dua mayat ditemui di kawasan berasingan di pulau Sado yang terletak kira-kira 750 kilometer dari Korea Utara merentasi Laut Jepun (Laut Timur).

Pegawai kanan polis tempatan, Hideaki Sakyo berkata: “Mayat berkenaan mula membusuk dan sukar dikenal pasti.”

Turut ditemui berhampiran, beberapa peti tembakau Korea Utara, serpihan bot dan jaket keselamatan dengan tulisan Korea.

Sebuah bot kayu dengan peralatan mencandat sotong turut ditemui di pantai berkenaan.

Menurut Sakyo, ombak tinggi menyukarkan kerja menyiasat sejak bot itu pertama kali ditemui pada Jumaat lalu.

Rakaman televisyen menunjukkan bot dengan lapan nombor padanya, yang terdampar di Semenanjung Oga, kelmarin.

“Tiada apa yang ditemui di pantai berhampiran dan setakat ini kami tidak menemui sebarang kaitan langsung dengan Korea Utara,” kata jurucakap pengawal pantai.

Berpuluh-puluh kapal nelayan Korea Utara terdampar di pantai Jepun setiap tahun.

Kadangkala kru kapal ditemui mati di laut, dalam fenomena dirujuk media tempatan sebagai ‘kapal berhantu.’

Pakar mengatakan nelayan Korea Utara berlayar jauh ke laut dalam bagi memenuhi mandat kerajaan untuk memperolehi tangkapan lebih memuaskan.

Bagaimanapun, bot digunakan mereka sering terdedah kepada masalah teknikal dan masalah lain termasuk kehabisan minyak serta kesukaran meminta bantuan.

Mangsa yang terselamat biasanya memohon untuk dihantar pulang ke negara mereka, tetapi segelintir yang memang melarikan diri dari Korea Utara akan dihantar ke Korea Selatan.- AFP

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com