Yamaha RXZ Jadi Legenda Sepanjang Zaman


LEBIH 100 pemilik motosikal Yamaha RXZ berjaya dikumpulkan dalam program Salam Ukhwah 2017 pada Sabtu dan Ahad lalu.

Program mengelilingi semenanjung Malaysia itu, bertujuan untuk mengeratkan hubungan dan menepis tanggapan orang ramai yang melihat penunggang RXZ sebagai simbolik kumpulan pelumba haram.

Penganjur program, Hirman Yadi Manap, 40, berkata, penganjuran kali ini adalah yang ketujuh sejak 2011 yang diadakan pada Oktober setiap tahun dan memilih negeri yang dipromosikan sebagai lokasi pelancongan bagi tahun berkenaan.

"Kali ini kita memilih Kuala Terengganu sebagai destinasi penutup sempena Tahun Melawat Terengganu 2017 dan sambutan yang diterima semakin menggalakkan dari tahun demi tahun.

"Selain menjalinkan ukhwah lebih erat antara pemilik RXZ, kita mahu tunjukkan pada orang ramai bahawa penunggang RXZ ini bukanlah mat rempit seperti pengaruh dalam drama atau filem.

"Sebaliknya nilai murni, disiplin dan aktiviti kerohanian yang diisi dalam program akan ditonjolkan pada umum menunjukkan bahawa RXZ bukan lambang pada lumba haram," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurutnya, kebanyakan peserta program anjuran Kelab Billboard itu adalah individu yang memiliki motosikal RXZ lebih 20 tahun yang lebih melihat nilai sentimental jentera berkenaan berbanding kelajuan.

Peserta, Mohd Ekhsan Mazlan, 37, berkata, penggemar motosikal RXZ yang sejati tidak mengukur pada kelajuan kenderaan itu sebaliknya kepuasan memiliki motosikal yang dianggap sebagai lagenda sepanjang zaman itu.

Katanya, program yang diadakan itu juga wajar diberi pujian kerana berjaya menarik generasi muda yang memiliki kenderaan itu sekali gus memberi pendedahan positif untuk menggunakan kenderaan klasik berkenaan.

"Kini, motor RXZ menjadi kegilaan ramai sehingga ada yang menjual dengan harga berpuluh ribu ringgit. Semuanya kerana nilai sentimental yang ada pada kenderaan itu terutamanya bagi 'budak motor' sekitar tahun 1990-an.

"Satu kepuasan apabila memilikinya, dan lebih bermakna apabila pemilik-pemilik motor ini dihimpunkan dalam satu program yang berbentuk ukhwah serta menerapkan nilai murni yang baik," katanya. 

Menurutnya, biarpun tidak mengenali antara satu sama lain, peserta yang dihimpunkan dalam program itu ibarat satu keluarga baru yang saling membantu dalam apa jua situasi.

Sumber: Metro

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com