Waspada Dengan Pihak Berpandu Akal, Tapi Jahil Islam "Buta" Al-Quran - Presiden PAS


ALOR SETAR - Umat Islam di negara ini diseru supaya lebih berhati-hati supaya tidak terpengaruh dengan pihak tertentu yang hanya berpandukan akal fikiran semata-mata, namun jahil ilmu agama dan "buta" Al-Quran.

Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang berkata, terdapat ramai pihak yang kini menonjolkan diri di kalangan masyarakat dan berjaya mengelirukan orang ramai sehingga memberi persepsi buruk di kalangan golongan bukan Islam terhadap umat Islam.

"Berwaspadalah dengan mereka yang tidak seimbang di antara ilmu agama dan akalnya, dan mereka yang jahil agama menggunakan akal tetapi buta Al-Quran.

"Kini ramai kalangan mereka yang menonjolkan diri sehingga mengelirukan masyarakat Islam (umat ijabah) dan menutup pintu hubungan dengan bukan Islam (umat dakwah)," kata Abdul Hadi, memetik kenyataannya di laman media rasmi PAS, Harakahdaily.

Abdul Hadi berkata, umat Islam di negara ini perlu mementingkan keseimbangan ilmu Islam dan akal fikiran supaya tidak tersasar dari haluan yang sebenar sebagaimana yang dianjurkan agama Islam.

Beliau mengibaratkan keadaan itu dengan analogi ketidakseimbangan antara "saiz kaki" dan "kasut"

"Di sini perlunya kesimbangan di antara ilmu Islam dan akal.

"Orang Islam yang tidak seimbang ilmu Islam dan akalnya laksana tidak seimbang di antara saiz kaki dan kasut. Kalau kakinya kecil, kasutnya besar maka tercabut. Kalau kakinya besar, kasutnya kecil maka kakinya melecet. Akhirnya berkaki ayam juga," katanya.

Difahamkan sebelum ini bahawa beberapa parti politik pembangkang yang berseteru dengan PAS telah melantik individu tertentu yang dilabel sebagai "ustaz" untuk meraih sokongan politik daripada bangsa Melayu beragama Islam di negara ini.

Strategi politik yang menggunakan sentimen agama dan bangsa itu dikatakan sangat ampuh dan pernah digunakan oleh pemimpin politik tertentu di Singapura sebelum ini untuk meraih sokongan bangsa Melayu serta umat Islam di negara republik tersebut. - Kedahnews.com

No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com