Wanita Prihatin Selamatkan Bayi Dijual Sindiket


ISU pemerdagangan manusia masih lagi menjadi antara fokus utama pihak berkuasa di seluruh dunia selain daripada jenayah-jenayah yang lain.

Baru-baru ini, tindakan prihatin seorang wanita di China berjaya menyelamatkan seorang bayi daripada menjadi mangsa pemerdagangan manusia tidak bertanggungjawab dan tindakan itu kemudian tular di media sosial.

Ceritanya bermula apabila wanita yang dikenali dengan nama Lee sedang dalam perjalanan pulang ke rumah menaiki bas selepas tamat waktu bekerja pada Selasa lalu.

Mulanya, keadaan sekeliling dalam bas itu seperti biasa sehinggalah seorang lelaki berbaju putih menaiki bas tersebut dalam keadaan yang mencurigakan dan tidak membayar tambang terlebih dahulu.

Lee yang memang sudah berada dalam bas itu mendapati kelakuan lelaki tersebut serba tidak kena. Apa yang membuatkan Lee pelik ialah bayi yang dikendongnya hanya memakai baju berlengan pendek walhal cuaca di Sichuan ketika itu sejuk.

Lebih mencurigakan lagi, lelaki berkenaan menepuk-nepuk belakang bayi tersebut dengan kuat untuk menenangkannya. Tambahan pula, bayi yang dikendongnya itu kelihatan baru habis menangis.

Jika difikirkan secara logik, manakan sanggup seorang bapa membiarkan anak yang sekecil itu berada dalam keadaan yang sejuk dengan pakaian sebegitu rupa.

Menurut laporan World Of Buzz,  Lee dengan perlahan-lahan telah pergi ke bahagian belakang bas tersebut untuk mengambil gambar lelaki berkenaan sebelum memuat naik ke laman sosial pihak polis.

Namun, disebabkan bateri telefon bimbitnya hampir habis, dia mengambil keputusan untuk pulang ke rumah dan menelefon pihak polis dari rumahnya memandangkan hanya tinggal dua stesen sahaja sebelum bas berkenaan pergi ke terminal.

Menurut Lee, bas berkenaan akan berhenti di stesen terakhir sebelum bergerak ke terminal. Namun, disebabkan lelaki itu tidak turun di stesen berkenaan, Lee merasakan dia akan menaiki tren setibanya di terminal.

Selepas dua jam, pihak polis menelefon Lee dan menyatakan mereka telah menahan lelaki tersebut sekali gus berjaya menyelamatkan bayi berkenaan daripada dijual.

Mereka juga mengesahkan yang lelaki itu memang berniat untuk menjual bayi berkenaan. Pihak polis turut mengucapkan terima kasih dengan kerjasama yang diberikan Lee.

Netizen turut memuji tindakan Lee kerana sikap prihatinnya itu mampu menyelamatkan nyawa bayi tersebut. 

Sumber - MYNEWSHUB


No comments:

AddThis

| Copyright © 2013 KedahNews.com